Ekonomi Malaysia tumbuh 3.6 peratus pada suku keempat 2019 sekali gus menjadikan ia pertumbuhan paling lemah sejak akhir 2009.

Menurut pengumuman yang dibuat oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunos, pertumbuhan itu kekal dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi pada kadar 7.4 peratus.

Sementara bagi tahun penuh 2019, ekonomi negara tumbuh 4.3 peratus berbanding 4.7 peratus pertumbuhan yang direkodkan pada 2018.

Penggunaan swasta meningkat dengan kukuh sebanyak 8.1 peratus pada suku keempat manakala pelaburan swasta mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 4.2 peratus.

Bagaimanapun, pertumbuhan sektor berkenaan terjejas akibat gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Pada suku keempat pula, purata inflasi keseluruhan adalah lebih rendah, mencerminkan terutamanya luputnya kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan perubahan dasar cukai penggunaan, stabil pada kadar 1.4 peratus.

Ringgit turut menokok nilai sebanyak 2.3 peratus pada suku keempat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong terutamanya oleh aliran masuk semula portfolio bukan pemastautin.

Hal ini disebabkan oleh sentimen pelabur yang bertambah baik berikutan perkembangan yang positif dalam rundingan perdagangan global.

Ringgit juga meningkat 1.1 peratus berbanding dengan dolar AS bagi keseluruhan tahun 2019.

Prestasi ringgit pada 2020 dijangka akan terus dipengaruhi oleh perkembangan di luar negara meskipun perjanjian perdagangan Fasa Satu antara AS dengan China menyumbang kepada prospek perdagangan global yang bertambah baik.

Namun begitu, sentimen pelabur juga terjejas oleh kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus.

Menurut Shamsiah, menjelang 2020, khususnya pada separuh tahun pertama, pertumbuhan dijangka terjejas akibat penularan wabak koronavirus.

Walau bagaimanapun, impak keseluruhan daripada wabak tersebut ke atas ekonomi Malaysia bergantung pada tempoh masa dan penyebaran wabak tersebut serta langkah tindak balas dasar yang diambil oleh pihak berkuasa.