DUBAI: Penglibatan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi negara pasca-tekanan ekonomi berpunca daripada pandemik COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata penglibatan negara dalam ekspo ini akan dapat membuka peluang pelaburan baharu, seterusnya membantu ekonomi negara khususnya dari segi ekonomi digital.

"Saya berharap dengan penglibatan Malaysia di ekspo ini dapat memperluaskan business networking (perangkaian perniagaan) kita dengan international communities (komuniti antarabangsa) serta memberi peluang kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mencari jalan membuka pintu pelaburan dan peluang perniagaan.

Saya juga dengan rendah hati meminta Malaysian Business Council (Majlis Perniagaan Malaysia) di sini dan juga negara lain untuk bersama membantu negara kita dengan memberikan pandangan dan sokongan, (ini) bertepatan dengan semangat Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra dan Makan Malam Diaspora Malaysia yang dihadiri hampir 50 rakyat Malaysia di sini pada Isnin.

Annuar dijadual melancarkan Minggu Ekonomi Digital Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai pada 12 Jan ini.

Ini selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan rantau ini, program yang diperkenalkan dalam Bajet 2022.

Annuar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kecerdasan Buatan, Ekonomi Digital dan Aplikasi Kerja Dari Luar Emiriah Arab Bersatu , Omar Sultan Al Olama serta lawatan kerja ke Dubai Media City pada 13 Jan ini.

MDEC menyasar menarik pelaburan komited bernilai lebih daripada RM300 juta, serta 50 prospek perniagaan yang layak semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia bermula dari 9 hingga 15 Januari di Ekspo Dubai 2020.

Dari 9 hingga 15 Jan, MDEC akan mengetuai satu delegasi tediri daripada 20 syarikat Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai sebagai sebahagian daripada program Minggu Ekonomi Digital Malaysia.

-- BERNAMA