Skip to main content

Bisnes

Eksport Malaysia naik 31.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.36 trilion bagi Januari-Ogos 2026 - MATRADE

41745481586_WestportsPortKlang.jpg
MATRADE menyatakan eksport ke pasaran membangun mencatatkan pertumbuhan ketara terutamanya di Namibia yang melonjak sebanyak 430.2 peratus. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia melonjak 31.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.356 trilion bagi tempoh Januari-Ogos 2026 daripada RM1.033 trilion bagi tempoh yang sama pada 2025.

Pencapaian yang merangkumi pasaran ke 40 buah negara itu termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Ireland serta ia sekali gus mengatasi keseluruhan nilai eksport yang direkodkan sepanjang 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyatakan eksport ke pasaran membangun mencatatkan pertumbuhan ketara terutamanya di Namibia yang melonjak sebanyak 430.2 peratus.

Ia diikuti Angola (+215.4 peratus), Tanzania (+50.2 peratus), Ethiopia (+51.2 peratus) dan Bangladesh (+20.2 peratus).

Menurut kenyataan itu, dalam kalangan blok ekonomi berkenaan, eksport ke negara-negara anggota BRICS berkembang sebanyak 19.1 peratus kepada RM251.47 bilion dengan pertumbuhan dua angka direkodkan di pasaran-pasaran utama termasuk China (+23.7 peratus), India (+23.4 peratus), Brazil (+27.5 peratus) dan Afrika Selatan (+43.4 peratus).

"Eksport ke Ethiopia telah pun mengatasi keseluruhan nilai eksport yang direkodkan pada 2025. Ini sekali gus menyerlahkan peningkatan penetrasi pasaran serta potensi pasaran bukan tradisional yang semakin berkembang dalam menyokong usaha kepelbagaian eksport Malaysia," tambahnya.

MATRADE memaklumkan pertumbuhan eksport turut dilihat merentasi pelbagai industri dan produk dengan peralatan optik dan saintifik melonjak 37.6 peratus.

Ini diikuti produk petroleum (+26.6 peratus), barangan keluaran logam (+21.6 peratus), jentera, kelengkapan dan alat ganti (+18.4 peratus) serta gas asli cecair (LNG) (+17.2 peratus), melangkaui sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Jelas kenyataan itu, produk berasaskan minyak sawit turut mencatatkan pertumbuhan kukuh terutamanya dipacu oleh oleokimia yang meningkat sebanyak 12.6 peratus dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memberi sumbangan ketara kepada perluasan segmen eksport ini.

MATRADE memberitahu prestasi berkenaan menegaskan peranan penting PKS dalam memperkukuh eksport bernilai tambah dan berasaskan hiliran Malaysia selain memperluas asas eksport melangkaui produk E&E.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abu Bakar Yusof berkata angka eksport bersejarah Malaysia membuktikan anjakan strategik kepada kepelbagaian pasaran dan produk sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil.

Ini berlaku di tengah-tengah ketidaktentuan rantaian bekalan global yang sekali gus membuka ruang dan peluang permintaan terhadap eksport Malaysia.

"Landskap baharu ini turut menyerlahkan ketangkasan struktur dan daya tahan para pengeksport Malaysia termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengurangkan selain meminimumkan impak ketidaktentuan global.

"MATRADE terus memperkukuh inisiatif capaian akses pasaran menerusi program pembangunan kapasiti pengeksport yang bersepadu dan tersuai dengan memperkasa pendekatan keseluruhan kerajaan serta rakan strategik bersama pihak berkepentingan sektor swasta," tambahnya.

MATRADE menjelaskan pihaknya akan terus mempergiat aktiviti promosi eksport di peringkat tempatan dan global bagi mempamer keupayaan syarikat-syarikat Malaysia termasuk menerusi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), pameran perdagangan halal terbesar di dunia yang bakal berlangsung dari 23 hingga 26 Sept, 2026.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement