Kerajaan disaran memperkenalkan peraturan-peraturan baru dalam pembinaan bangunan berkonsepkan hijau dan cekap tenaga.

Menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), Piarapakaran Subramaniam peraturan baru itu diharap dapat membantu mengurangkan suhu panas di dalam bangunan seterusnya mengurangkan penggunaan elektrik.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kepada pemaju dan pemilik bangunan yang membina bangunan cekap tenaga.

"Kita mencadangkan dua set undang-undang. Satu set peraturan untuk bangunan yang sedia ada dimana kita membantu mereka menjurus ke arah cekap tenaga dan satu lagi untuk bangunan baru yang akan dibina.

"Jika bangunan baharu tidak menetapi peraturan yang ditetapkan, kelulusan pembinaan tidak boleh dibenarkan," ujar beliau kepada Astro AWANI pada hari ini.

Piarapakaran menambah kos teknologi pembinaan hijau yang tinggi ketika ini dapat dikurangkan sekiranya terdapat usaha membangunkannya di peringkat tempatan.

"Kebanyakan produk bahan binaan yang cekap tenaga ini diperoleh dari negara empat musim dan bila digunakan disini, ia akan rosak dengan cepat kerana ia tiada daya tahan di negara monsun tropika seperti Malaysia.

"Jika kita menguatkuasakan peraturan baharu dalam pembinaan nanti, kita dapat mewujudkan teknologi baru pembinaan yang boleh digunakan dengan kos yang jauh lebih murah dan kita juga dapat menjual produk kita ke negara lain," tambah beliau.

Katanya ketika ini kebanyakan bahan binaan yang digunapakai bagi projek perumahan dan komersial negara ini tidak cekap tenaga.

Ini mengakibatkan struktur sedia ada gagal menampan cuaca panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini.