KUALA LUMPUR: IJM Land Berhad (IJM Land) bersama Amona Group melancarkan Enlace Suites II, projek kediaman terbaharu di Pantai Sentral Park yang meneruskan konsep kehidupan bandar bersepadu dengan akses kepada persekitaran semula jadi.
Pelancaran itu hadir susulan sambutan memberangsangkan terhadap Enlace Suites I yang mencatat kadar pengambilan sebanyak 70 peratus sejak diperkenalkan tahun lalu, dengan semua unit bukan Bumiputera telah habis terjual.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Tony Ling Thou Lung berkata, pencapaian tersebut mencerminkan perubahan keutamaan pembeli yang kini lebih menitikberatkan kualiti kehidupan selain faktor lokasi semata-mata.
“Pembeli semakin menghargai pembangunan yang menawarkan jaringan perhubungan yang baik, kemudahan bersepadu serta akses bermakna kepada alam semula jadi.
“Sambutan 70 peratus terhadap Enlace Suites I menjadi pengesahan kukuh terhadap konsep yang diketengahkan dan Enlace Suites II meneruskan tawaran sama kepada kumpulan pemilik kediaman baharu,” katanya pada majlis pelancaran rasmi projek itu di Galeri IJM Land Centre of Excellence (I.C.E.), Pantai Sentral Park, di sini.
Enlace Suites II terletak dalam pembangunan induk Pantai Sentral Park seluas 58 ekar yang bersempadan dengan Taman Rimba Bukit Kerinchi seluas 252 ekar.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara pembangunan bandar dan alam semula jadi, projek Urban Park yang sedang dibangunkan IJM Land di Taman Rimba Bukit Kerinchi dijangka menjadi pintu masuk utama ke kawasan hutan berkenaan dan dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini.
Enlace Suites II merupakan komponen terbaharu dalam presint Enlace yang menggabungkan elemen kediaman, ruang peruncitan, pejabat butik, kemudahan kesejahteraan serta ruang awam dalam satu persekitaran bersepadu.
Projek itu menawarkan sebanyak 290 unit kediaman lengkap dengan kemasan dan sebahagiannya dilengkapi perabot, dengan keluasan antara 506 kaki persegi hingga 2,034 kaki persegi.
Pembangunan berkenaan disasarkan kepada pelbagai kategori pembeli termasuk pemilik rumah pertama, golongan profesional muda, keluarga yang sedang berkembang serta isi rumah berbilang generasi.
Dalam pada itu, pelancaran Enlace Suites II turut dimeriahkan dengan dua sesi perkongsian yang menyentuh topik pengurusan kewangan, keusahawanan dan perancangan masa depan.
Sesi bertajuk Spend, Save or Invest? menampilkan pencipta kandungan hartanah, Sean Tan atau iherng bersama pengasas FNBtalk, Bob Ngoh, yang membincangkan aspek pembelian rumah pertama, pengurusan kewangan serta keseimbangan antara gaya hidup dan matlamat jangka panjang.
Sementara itu, sesi Beyond the Hustle – Building Businesses That Last menampilkan pengasas Chucks, Jane Chuck dan Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media Berhad, Pinn Yang yang berkongsi pengalaman membina serta mengembangkan perniagaan dalam persekitaran yang semakin mencabar.
Menurut IJM Land, pelancaran Enlace Suites II mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam membangunkan komuniti yang mengutamakan kesalinghubungan, kesejahteraan, gaya hidup dan kelestarian alam semula jadi dalam satu ekosistem bandar moden.