Skip to main content

Malaysia

Sabah terbuka kepada pelaburan pusat data AI, namun perlu penuhi syarat ketat - Hajiji

Hajiji berkata keterbukaan kerajaan negeri terhadap pelaburan dan kerjasama strategik perlu disertai usaha wajar serta proses membuat keputusan yang bertanggungjawab. - Gambar fail/BERNAMA
Hajiji berkata keterbukaan kerajaan negeri terhadap pelaburan dan kerjasama strategik perlu disertai usaha wajar serta proses membuat keputusan yang bertanggungjawab. - Gambar fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan Sabah terbuka kepada pelaburan teknologi seperti pusat data AI, namun setiap cadangan mesti melalui penilaian ketat demi kepentingan rakyat dan infrastruktur asas.
  • Pemeteraian MoU pusat data AI pertama Sabah antara North AIDC Sdn Bhd dan rakan global dianggap langkah awal, namun kelulusan tertakluk kepada syarat agensi berkaitan.
  • Projek pusat data berpotensi membuka peluang kepada syarikat tempatan dan belia, namun mesti selari dengan penyelesaian isu infrastruktur asas negeri.
Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terbuka kepada pelaburan berwibawa dalam sektor teknologi termasuk pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI), namun setiap cadangan pelaburan perlu melalui penilaian ketat bagi memastikan kepentingan rakyat dan keperluan infrastruktur asas negeri tidak terjejas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keterbukaan kerajaan negeri terhadap pelaburan dan kerjasama strategik perlu disertai usaha wajar serta proses membuat keputusan yang bertanggungjawab, khususnya bagi projek berskala besar yang memerlukan sumber tenaga dan air yang tinggi.

“Bagaimanapun, keterbukaan ini mestilah sentiasa disertai dengan usaha wajar dan proses membuat keputusan yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri semalam.

Advertisement

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan penubuhan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) pertama di Sabah, di sini malam tadi, dengan teks ucapan Hajiji pada majlis berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata pemeteraian MoU antara North AIDC Sdn Bhd dengan beberapa rakan kongsi global merupakan langkah permulaan yang menggalakkan, namun kejayaan sebenar projek berkenaan bergantung kepada perancangan teliti, penilaian menyeluruh dan manfaat yang mampu diberikan kepada Sabah.

Advertisement

“Ukuran sebenar kemajuan adalah apa yang berlaku selepas pemeteraian ini, iaitu perancangan yang teliti, penilaian yang sewajarnya serta hasil yang bermakna untuk Sabah,” katanya.

Hajiji berkata pemeteraian MoU bukan bermaksud sesuatu projek telah memperoleh kelulusan kerajaan negeri, sebaliknya setiap cadangan masih perlu memenuhi semua syarat dan keperluan yang ditetapkan agensi berkaitan.

Beliau berkata penilaian terhadap cadangan pembangunan pusat data perlu mengambil kira daya maju teknikal dan kewangan, keperluan bekalan elektrik dan air, teknologi penyejukan, perlindungan alam sekitar, penggunaan tanah serta kesalinghubungan.

Katanya, pihak pemaju juga perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan utiliti bagi memastikan pembangunan kemudahan berkenaan tidak menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan asas yang diperlukan rakyat.

“Ekonomi digital moden seharusnya memperkukuh infrastruktur Sabah, bukannya memberikan tekanan tambahan yang tidak perlu terhadapnya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan pusat data berpotensi membuka peluang kepada syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, telekomunikasi, logistik dan perkhidmatan sokongan, khususnya ketika peringkat pembinaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan pemaju projek menyediakan peluang kepada kontraktor tempatan, menjalin kerjasama dengan universiti dan institusi teknikal serta memperkenalkan program perantisan bagi membolehkan golongan muda Sabah memperoleh kemahiran dalam sektor teknologi digital.

Hajiji berkata perkembangan AI dan pengkomputeran awan membuka peluang kepada Sabah untuk memperkukuh penyertaan dalam ekonomi digital, namun usaha itu perlu bergerak seiring dengan penyelesaian masalah infrastruktur asas yang masih dihadapi sebahagian penduduk negeri.

Beliau berkata pengalaman negeri lain termasuk Johor dalam pembangunan pusat data boleh dijadikan panduan, khususnya berkaitan pengurusan utiliti, perlindungan alam sekitar dan kepentingan masyarakat setempat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement