Skip to main content

Bisnes

Farm Fresh labur RM288 juta bina ladang tenusu berskala besar pertama di Kemboja

1) Projek pelaburan penternakan tenusu dikenali Farm Fresh Pursat berpangkalan di daerah Veal Veng dan wilayah Pursat, Kemboja.1) Projek pelaburan penternakan tenusu dikenali Farm Fresh Pursat berpangkalan di daerah Veal Veng dan wilayah Pursat, Kemboja.
Kumpulan Farm Fresh Berhad melabur sebanyak AS$68 juta (kira-kira RM288 juta) untuk membangunkan ladang tenusu berskala besar pertama di Kemboja menerusi projek Farm Fresh Pursat yang akan dilaksanakan di wilayah Pursat.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Farm Fresh Berhad melabur sebanyak AS$68 juta (kira-kira RM288 juta) untuk membangunkan ladang tenusu berskala besar pertama di Kemboja menerusi projek Farm Fresh Pursat yang akan dilaksanakan di wilayah Pursat.

Projek itu direalisasikan melalui kerjasama Farm Fresh dan Alpha Group Kemboja bersama Pentadbiran Wilayah Pursat serta Sonavith Co., Ltd. menerusi pemeteraian perjanjian pajakan tanah bagi pembangunan projek berkenaan.

Terletak di daerah Veal Veng, projek tersebut melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar dan bakal menempatkan ladang tenusu bertaraf antarabangsa serta kilang pemprosesan susu tempatan.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh rantaian pengeluaran tenusu Kemboja, mengurangkan kebergantungan terhadap import susu dan meningkatkan keupayaan negara itu memenuhi permintaan pasaran domestik selain meneroka potensi eksport pada masa hadapan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, syarikat itu berbesar hati dapat melabur di wilayah Pursat dan menghargai sokongan serta insentif yang diberikan kerajaan Kemboja.

Menurut beliau, kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama negara itu dijangka membantu mengatasi kekurangan bekalan susu segar tempatan selari dengan peningkatan permintaan pengguna.

“Projek penternakan tenusu bernilai AS$68 juta ini akan meningkatkan bekalan susu segar berkualiti tinggi di Kemboja dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

“Sebagai syarikat tenusu terkemuka di Asia Tenggara, pelaburan kami di Pursat turut membantu meningkatkan profil wilayah ini di peringkat serantau dan global,” katanya.

Sebelum ini, pada 26 Oktober 2025 ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan, Farm Fresh menandatangani memorandum persefahaman dengan Alpha Group Kemboja bagi merealisasikan pembangunan kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama di negara itu.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Pursat, Khoy Rida berkata, pelaburan tersebut bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, malah menjadi satu mercu tanda penting dalam pembangunan sektor tenusu Kemboja.

Menurut beliau, projek itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dan menyokong usaha kerajaan memperkukuh keselamatan bekalan makanan negara.

Langkah mempercepatkan pembangunan industri tenusu tempatan itu dibuat susulan gangguan bekalan susu yang pernah melanda Kemboja akibat konflik sempadan dengan Thailand.

Thailand sebelum ini membekalkan lebih 76 peratus daripada import produk tenusu Kemboja, menyebabkan negara itu terdedah kepada risiko gangguan bekalan.

Pada Julai 2025, beberapa pasar raya dilaporkan mengalami kekosongan stok susu, manakala premis makanan dan minuman berdepan kesukaran mendapatkan bekalan susu segar.

Keadaan itu mendorong Kemboja mempergiat usaha meningkatkan pengeluaran susu segar domestik bagi menjamin bekalan yang lebih stabil pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement