Ringkasan AI
- Lembaga Tabung Haji akan meneliti cadangan penubuhan panel khas strategi pelaburan bagi memperkukuh pengurusan dan penilaian pelaburan institusi itu.
- TH menegaskan perbandingan prestasi dengan institusi lain seperti KWSP dan PNB tidak wajar kerana setiap institusi mempunyai mandat berbeza.
- Hampir 90 peratus aset pelaburan TH tertumpu di pasaran domestik, manakala 10 peratus dilaburkan di pasaran global mengikut strategi dan toleransi risiko.
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti cadangan mewujudkan panel khas strategi pelaburan bagi memperkukuh kaedah pengurusan dan penilaian pelaburannya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata TH mengambil perhatian terhadap cadangan supaya institusi itu mempunyai tenaga profesional dan panel khusus yang meneliti peluang serta cadangan pelaburan.
“… kami mengambil berat cadangan berkaitan dengan pengambilan tenaga profesional dan panel khas (strategi pelaburan TH). Insya-Allah, Tabung Haji akan teliti dan akan sentiasa memperbaiki kaedah pelaburannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang bertanyakan sekiranya TH perlu mewujudkan panel khas strategi pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain mengambil tenaga profesional untuk menilai peluang pelaburan semasa dan akan datang.
Muhammad Bakhtiar turut mempersoalkan kecekapan prestasi pelaburan TH berbanding institusi lain seperti KWSP dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi.
Mengulas perkara itu, Marhamah berkata perbandingan secara langsung antara TH dengan institusi pelaburan lain seperti KWSP, PNB, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah tidak wajar kerana setiap institusi mempunyai mandat berbeza.
“TH ini lebih sesuai dibandingkan dengan akaun bank iaitu CASA atau akaun semasa dan akaun simpanan kerana mempunyai persamaan dari segi kemudahan deposit dan pengeluaran,” katanya bahawa pendeposit TH mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan wang simpanan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, beliau berkata TH menawarkan pulangan lebih tinggi berbanding akaun semasa dan simpanan bank, iaitu agihan keuntungan 3.5 peratus bagi 2025 selepas pelunasan zakat berbanding kurang satu peratus bagi akaun berkenaan.
Menjawab soalan asal Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai langkah komprehensif TH dalam mengimbangi pelaburan domestik dan global, Marhamah berkata hampir 90 peratus aset pelaburan TH ketika ini tertumpu dalam pasaran domestik manakala 10 peratus lagi dilaburkan di pasaran global.
Beliau berkata strategi pelaburan TH dilaksanakan berpandukan rangka peruntukan aset strategik (SAA) serta tahap toleransi risiko bersesuaian yang bertujuan memastikan dana simpanan pendeposit diuruskan secara berhemah dan selamat, selain mengambil kira perubahan semasa dalam persekitaran ekonomi serta pasaran modal.
“Pada masa ini, TH memperuntukkan 54 peratus alokasi dalam instrumen berpendapatan tetap, manakala 29 peratus pula di alokasi dalam ekuiti, 12 peratus dalam hartanah dan selebihnya dalam pasaran tunai,” katanya.
Marhamah berkata walaupun rangka SAA membenarkan pendedahan lebih besar kepada pasaran global, aktiviti pelaburan TH perlu mengambil kira dan mematuhi garis panduan pertukaran mata wang asing yang ditetapkan Bank Negara Malaysia, sama seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain.
Beliau berkata rangka SAA disemak setiap tiga tahun bagi memastikan strategi pelaburan dan pengurusan risiko terus mengambil kira perubahan semasa, termasuk ketidaktentuan dalam pasaran modal.
“Setiap cadangan pelaburan TH melalui proses penelitian dan kelulusan secara berperingkat membabitkan pihak pengurusan, panel pelaburan dan lembaga sebelum dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangan serta kelulusan mengikut had kuasa dan keperluan yang berkuat kuasa,” katanya.
-- BERNAMA