Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berjaya mengurangkan kerugian sebelum cukai kepada RM23.23 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2016, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM62.43 juta dicatatkan pada suku sama tahun 2015.

Peningkatan prestasi itu disebabkan antaranya, inisiatif penjimatan kos yang dilaksanakan kumpulan itu, menurut pengendali perladangan kelapa sawit itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Katanya perolehan kumpulan tersebut susut kepada RM4.19 bilion berbanding RM4.51 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2016, FGV mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang rendah sebanyak RM14.14 juta berbanding RM200.71 juta dicatatkan pada tahun lepas.

Katanya penurunan itu disebabkan pengeluaran minyak sawit mentah yang rendah, kos gula mentah yang tinggi, pendapatan daripada segmen hiliran yang rendah dan kerugian yang ditanggung oleh entiti kawalan bersama.

Sementara itu, perolehan kumpulan itu meningkat kepada RM12.09 bilion berbanding RM11.41 bilion dicatatkan tahun lepas.

Mengenai prospek, FGV berkata prestasinya bagi suku tersebut dipengaruhi oleh kerugian besar yang dialami oleh salah satu entiti kawalan bersama disebabkan penurunan stok pada suku ini.

"Sehubungan itu, kami menjangka prestasi kami akan mencabar bagi tahun kewangan semasa dengan satu lagi suku tahun," katanya.

Pengeluaran tanaman bermusim yang rendah bagi baki suku tahun kewangan berpotensi diimbangi oleh unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) yang positif dalam masa terdekat susulan bekalan sawit yang terhad pada tahun ini dari Indonesia dan Malaysia disebabkan kesan El Nino," katanya.

Bagaimanapun, peningkatan harga MSM akan dihadkan oleh bekalan minyak makan dan daya saing MSM yang berkurangan daripada diskaun harga yang lebih kecil berbanding minyak kacang soya.

Pertumbuhan global yang perlahan dan ketidaktentuan pasaran mata wang susulan pengukuhan dolar AS terus memberi kesan kepada ekonomi dunia dan keadaan operasi kumpulan yang sukar.

"Berdasarkan ini, lembaga pengarah menjangka kumpulan mencatat kerugian bagi tahun kewangan penuh," katanya. -- Bernama