KUALA LUMPUR: Firma Singapura, ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) memperoleh kemudahan pembiayaan hijau sehingga AS$1.37 bilion (RM5.6 bilion) bagi menyokong pembangunan kampus pusat data utamanya di Johor.
STT GDC ditubuhkan pada 2014 sebagai sebahagian daripada Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia), sebuah syarikat pelaburan strategik yang disokong Temasek Holdings, dana kekayaan berdaulat republik itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata pelaburan berkenaan turut mencerminkan komitmennya untuk membangunkan keupayaan tempatan, memperkukuh kerjasama industri dan melaksanakan operasi secara bertanggungjawab ketika mengembangkan operasinya di Johor.
Pakej pembiayaan itu merangkumi kemudahan pinjaman hijau bagi fasa pertama kampus STT Johor di Nusa Cemerlang Industrial Park, Iskandar Puteri.
United Overseas Bank (Malaysia) Bhd merupakan penyelaras tunggal dan pengatur utama yang diberi mandat bagi pembiayaan itu, bersama OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan CIMB Bank Bhd.
Ketua Pegawai Kewangan kumpulan STT GDC, Nelson Lim berkata pembiayaan itu merupakan pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang syarikat itu untuk melabur di Malaysia.
“Ia juga mencerminkan keyakinan rakan perbankannya terhadap projek berkenaan serta prospek jangka panjang sektor infrastruktur digital.
“Seiring peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) dan beban kerja digital lain, modal yang berdisiplin dan bersifat jangka panjang amat penting untuk membangunkan infrastruktur yang berdaya tahan, mampan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.
Lim berkata kemudahan itu turut mengukuhkan pendekatan STT GDC untuk menerapkan aspek kemampanan dalam pembiayaan, reka bentuk, pembinaan dan operasi pusat datanya.
Kampus STT Johor mempunyai kapasiti pembangunan terancang sehingga 166 megawatt beban teknologi maklumat.
Kampus itu dibangunkan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan infrastruktur digital berskala besar bagi pengkomputeran awan, AI, pengkomputeran berprestasi tinggi serta beban kerja generasi baharu yang lain.
STT GDC berkata tahap ketersambungan Johor, akses kepada infrastruktur tenaga, kumpulan tenaga kerja berkemahiran yang semakin berkembang serta kedudukannya yang berdekatan Singapura mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan infrastruktur digital berskala besar.
Kampus itu juga dijangka menyokong matlamat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, termasuk meningkatkan kerjasama ekonomi rentas sempadan serta pembangunan Johor sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi.
Ketua STT GDC Malaysia Darryll Sinnappa berkata kampus berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap Malaysia serta keyakinan Johor sebagai hab strategik infrastruktur digital.
“Kampus ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan infrastruktur digital generasi akan datang, termasuk beban kerja pengkomputeran awan, AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi, selain menyumbang kepada aspirasi ekonomi digital Malaysia,” katanya.
Pada April 2026, syarikat itu melancarkan inisiatif pembangunan bakat dan komuniti di negeri berkenaan dengan kerjasama Johor Talent Development Council, Universiti Teknologi Malaysia dan EPI Group.
Program itu merupakan kesinambungan memorandum persefahaman yang ditandatangani STT GDC dan majlis berkenaan pada 2025 bagi membangunkan kumpulan tenaga profesional berkemahiran untuk industri pusat data di Johor dan rantau lainnya.
Menurut laporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terbaharunya, tenaga boleh baharu menyumbang 83.2 peratus daripada penggunaan elektrik STT GDC pada 2025.
Syarikat itu turut mengurangkan intensiti karbon sebanyak 70.5 peratus berbanding garis dasar 2021, sekali gus mencapai sasaran 2028, tiga tahun lebih awal daripada jadual.
Purata keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) syarikat berada pada 1.44, mencatat peningkatan 13 peratus berbanding garis dasar 2020, manakala keberkesanan penggunaan air (WUE) bertambah baik 41.2 peratus dalam tempoh sama.
-- BERNAMA