BISNES
Fitch kekalkan prospek 'neutral' ke atas sektor perbankan Malaysia

Fitch Ratings menyemak semula prospeknya untuk sektor perbankan di beberapa negara berkaitan dasar perdagangan Amerika Syarikat. - Reuters
KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengekalkan prospek 'neutral' ke atas sektor perbankan Malaysia pada 2025 dan menyemak semula prospek untuk beberapa negara Asia Pasifik berikutan pendedahan terhadap perang perdagangan.
Menurut agensi penarafan itu, pihaknya telah menyemak semula prospeknya untuk sektor perbankan di Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam bagi mencerminkan prospek bank yang lemah pada 2025 berikutan pendedahan berkaitan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) walaupun prospek keseluruhan sektor perbankan Asia Pasifik kekal 'neutral'.
Ia telah menurunkan prospek Korea Selatan, Taiwan dan Thailand kepada 'merosot' daripada 'neutral' pada awal 2025 manakala prospek Vietnam disemak semula kepada 'neutral' daripada 'meningkat' sebelum ini.
"Kami mengekalkan prospek 'merosot' ke atas sektor perbankan China, mencerminkan cabaran berterusan terhadap bank apabila dasar kerajaan memberi impak kepada keuntungan dan bank berdepan tekanan kualiti aset disebabkan ekonomi dan sektor hartanah yang lemah," katanya dalam kenyataan hari ini.Bagi pasaran sedang pesat membangun, Fitch mengekalkan prospek 'neutral' ke atas sektor perbankan di India, Indonesia, Filipina dan Mongolia.
Mengenai prospek 'merosot' untuk sektor perbankan di Korea Selatan, Taiwan dan Thailand, Fitch berkata ini sebahagiannya disebabkan pertumbuhan pinjaman, kualiti aset dan keuntungan bank yang dijangka lemah dalam pasaran ini berikutan tarif meningkat berdasarkan pendedahan eksport dan jualan mereka yang tinggi ke AS.
"Terdapat ketidaktentuan yang tinggi mengenai hala tuju akhir tarif AS tetapi tahap keterbukaan perdagangan Asia Pasifik yang tinggi dan pendedahannya terhadap permintaan AS menjadikannya lebih terdedah kepada potensi kenaikan tarif AS.
"Bagi sistem perbankan yang paling terjejas, keuntungan yang rendah dan kualiti aset yang lemah akan menjadi impak utama daripada tarif tersebut," katanya.
Bagaimanapun, katanya impak sebenar daripada perang perdagangan terhadap sektor perbankan serantau akan bergantung pada keputusan akhir mengenai tarif, impaknya terhadap pertumbuhan ekonomi tempatan, tahap pendedahan bank kepada sektor yang terjejas dan potensi perubahan dalam dasar fiskal, monetari atau kredit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami