KUALA LUMPUR: Fixturegram, syarikat pemula niaga teknologi yang diasaskan dan diterajui oleh profesional perkapalan telah melancarkan penyelesaian penstriman langsung yang mengutamakan industri untuk menyediakan kecekapan dan kebolehcapaian yang lebih baik kepada seluruh industri perkapalan pukal.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fixturegram Malaysia, Eric Lim berkata, penyelesaian itu menawarkan ciri-ciri pengubah keadaan yang belum pernah terdapat dalam industri sebelum ini dan meminimumkan kelebihpadaan dan kesilapan data kepada ejen perkapalan dan pemilik kapal.

Beliau berkata pelancaran itu dilaksanakan ketika profesional perkapalan dalam industri sedang bergelut menyelesaikan arahan bekerja dari rumah dan langkah kawalan pergerakan semasa COVID-19 memandangkan sebahagian besar daripada sistem pengurusan data industri telah dibuat secara manual, dan di tapak.

“Kami yakin Fixturegram yang menawarkan penyelesaian bersepadu dalam tapak dan luar tapak akan memikirkan semula bagaimana maklumat aktiviti di pelabuhan disampaikan dengan efektif, terutamanya ketika pandemik.

“Penyelesaian digital kami menawarkan persekitaran kerja maya kepada komuniti perkapalan untuk bekerjasama dan berkongsi maklumat dan dokumen perkapalan masa nyata, menghapuskan keperluan untuk memasukkan data secara manual di tapak,” katanya.

Pelancaran sulung itu menyaksikan Kudrat Maritime iaitu peneraju industri perkhidmatan agensi perkapalan sebagai pengguna pertama, sekali gus membuka jalan kepada pendigitalan industri.

“Keupayaan (Fixturegram) untuk menawarkan maklumat perkapalan masa nyata kepada pelanggan kami memberikan kelebihan yang signifikan dalam pasaran agensi perkapalan yang sentiasa berdaya saing.

“Penambahbaikan dan manfaat yang kami lihat kemudiannya diserahkan kepada pelanggan sebagai nilai tambah, membolehkan pelanggan untuk menganalisis prestasi penghantaran mereka dengan lebih tepat, dan mendorong untuk membuat keputusan yang lebih baik terhadap penghantaran pada masa akan datang,” kata Pengarah Eksekutif Kudrat, Khalzani Saffian.

Beliau berkata pelaksanaan penyelesaian Fixturegram yang digital sepenuhnya oleh Kudrat adalah seiring dengan usaha kerajaan untuk mengubah ekosistem logistik tempatan yang lebih cekap seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.


*Gambar fail DagangNews.com