KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah memulakan proses meminda Akta Persaingan 2010 untuk memperkenalkan kuasa kepada MyCC untuk mengawal penggabungan dan pengambilalihan syarikat yang akan membentuk entiti monopoli dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya merancang untuk membentangkan pindaan akta tersebut pada hujung tahun ini.

"Melalui kuasa ini, sebarang penggabungan dan pengambilalihan syarikat perlu mendapat kebenaran daripada MyCC. Ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan pasaran yang boleh menggugat pasaran.

"Mana-mana syarikat yang bergabung tanpa kebenaran boleh diarahkan untuk memecahkan balik gabungan itu dan boleh dikenakan denda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyatakan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilaporkan telah mencadangkan agar undang-undang persaingan di negara ini dikaji semula, berdasarkan amalan ‘monopoli’ oleh sesetengah syarikat.

Kedua-dua ahli Parlimen tersebut dilaporkan telah menamakan syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing, Grab, sebagai contoh dan menyarankan agar monopoli syarikat pemula niaga bernilai berbilion dolar itu harus dipecahkan.

Mengulas lanjut Alexander turut berkata, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa syarikat seperti MyEG Services Sdn Bhd, DagangNet Sdn Bhd, Malaysia Airlines, AirAsia dan lain-lain lagi yang didapati melanggar perlakuan anti persaingan sama ada melalui perjanjian antipersaingan atau kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli.

"Setakat ini, pihak MyCC telah mengeluarkan Keputusan Akhir terhadap syarikat-syarikat tersebut yang melibatkan jumlah denda yang melebihi RM160 juta.

"Pada Oktober 2019, KPDNHEP melalui MyCC telah mengeluarkan satu Keputusan Cadangan terhadap Grab kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran yang berkaitan dengan perkhidmatannya.

"Keputusan Akhir bagi kes ini akan dikeluarkan oleh MyCC setelah mendengar dan meneliti secara terperinci hujahan daripada pihak Grab yang telah dibuat barubaru ini.

"Grab, dalam kes ini, juga telah mencabar Keputusan Cadangan MyCC pada peringkat Mahkamah Rayuan," katanya.

Justeru, beliau berharap setiap pihak dapat berganding bahu bagi memastikan proses persaingan dalam pasaran di negara ini berjalan dengan baik dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat dalam negara.