Ringkasan AI
- Perubahan nada Perdana Menteri dan reaksi bercanggah pemimpin Pakatan Harapan mengenai pengampunan bersyarat Najib Razak menjadi perhatian pemerhati politik.
- Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah selepas perintah baharu Mahkamah Tinggi, berkuat kuasa sehingga 23 Ogos 2028.
- Status Najib kekal sebagai banduan di bawah kawalan Jabatan Penjara Malaysia, dengan kediamannya diwartakan sebagai penjara sah mengikut Akta Penjara 1995.
KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai perubahan nada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta reaksi bercanggah beberapa pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat dan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjadi tumpuan pemerhati politik.
Perkara itu dibangkitkan penganalisis politik dan pempengaruh media sosial, Hafiz Ariffin dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di platform media sosialnya pada Khamis.
Menerusi hantaran tersebut, Hafiz, yang juga Setiausaha Pemuda UMNO mendakwa, wujud percanggahan ketara antara pengakuan terdahulu Anwar di Dewan Rakyat mengenai peranannya membawa permohonan pengampunan Najib ke dalam agenda Lembaga Pengampunan dengan penafian terbaharu beliau bahawa kerajaan "membuka jalan" kepada proses tersebut.
“Datuk Seri, dulu dalam Dewan Rakyat, Datuk Seri sendiri mengaku Datuk Serilah yang bawa kes pengampunan Najib masuk agenda. Tapi sekarang, kenapa nada dah berubah? ‘Kata saya buka jalan, tidak betul.’ Ramai orang perasan,” katanya.
Menurut Hafiz, Najib telah melalui keseluruhan proses kehakiman dan saluran Perlembagaan sebelum memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta menyelesaikan bayaran denda RM50 juta seperti yang disyaratkan.
Beliau berpandangan bahawa susulan perkenan diraja itu, beberapa pemimpin dalam gabungan kerajaan dilihat menghantar isyarat politik yang tidak selari dengan semangat menjunjung titah Istana, sekali gus berisiko menjejaskan kedudukan Anwar selaku Perdana Menteri dan Pengerusi PH.
“Kalau tak setuju dan cakap terus, tak mengapa. Tapi ini macam memerli keputusan Istana. Ini tak bagus, dan langsung tak membantu Datuk Seri sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hafiz merujuk kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang meminta orang ramai mengajukan persoalan terus kepada pihak Istana, selain menyifatkan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke atas nama prinsip parti sementara menteri lain daripada parti sama kekal dalam Kabinet sebagai satu bentuk "teater politik".
“Habis, menteri DAP yang lain? Tak ada prinsip? Semua kekal. Apa beza Loke dengan yang lain? Prinsip apa yang terpakai pada seorang menteri sahaja? Itu bukan prinsip, itu teater politik,” tegasnya.
Beliau turut membangkitkan cadangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu agar tahanan rumah diperluaskan kepada semua banduan, yang disifatkannya sebagai cubaan memperkecilkan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam masa sama, Hafiz mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelepasan Najib pada saat akhir sebelum ini sehingga mencetuskan kenyataan tegas daripada Istana dan sesi menghadap oleh Peguam Negara bagi memohon ampun.
Beliau turut membandingkan perkembangan semasa itu dengan pendirian pasukan perundangan Anwar pada 2018 yang mempertahankan pengampunan penuh beliau di Mahkamah Persekutuan atas hujah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipertikaikan, selain laporan kesediaan peguamnya memohon tahanan rumah sewaktu beliau dipenjarakan pada 2016.
“Jadi pengampunan dan tahanan rumah ini hak semua orang, atau ikut siapa yang dapat? Ramai dah yang letak jawatan tinggalkan Datuk Seri. Jangan biarkan orang ramai pula lakukan perkara yang sama kalau berlarutan begini,” katanya.
Latar Belakang Kes
Polemik terkini itu tercetus susulan pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat ke atas Najib selepas beliau melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.
Pada 6 November lalu, pelaksanaan perintah awal pelepasan mengalami penangguhan teknikal susulan permohonan klarifikasi oleh Jabatan Peguam Negara berhubung kecacatan draf perintah asal yang secara teknikal membawa maksud pelepasan mutlak.
Susulan sesi klarifikasi bersama pihak pendakwaan dan pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah awal bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu yang mengesahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan tersebut mengekalkan status Najib sebagai banduan di bawah kawalan ketat Jabatan Penjara Malaysia, selaras dengan pewartaan kediaman berkenaan sebagai penjara sah di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537).