Skip to main content

Politik

Letak jawatan? Kami tak mahu jadi gila talak macam mereka - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid hadir pada Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka Bersama Timbalan Perdana Menteri di Tambak Paya, Ayer Molek hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid hadir pada Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka Bersama Timbalan Perdana Menteri di Tambak Paya, Ayer Molek hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada keperluan untuk menteri Barisan Nasional meletak jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
  • Beliau menyatakan perbezaan haluan di peringkat negeri tidak menjejaskan sokongan BN terhadap kepimpinan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.
  • Ahmad Zahid menegaskan menteri BN sentiasa menyokong dasar Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah berbeza pendapat dengan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Advertisement

MELAKA TENGAH: Tiada keperluan untuk mana-mana menteri Barisan Nasional (BN) meletak jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perbezaan haluan di peringkat negeri, termasuk di Melaka, tidak bermakna gabungan itu tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

“Jadi kalau beliau (Gobind Singh) rasa apa yang beliau nyatakan itu patut dibuat (desakan letak jawatan), jadi buatlah sebagaimana yang dibuat oleh Setiausaha Agung (Anthony Loke) partinya.

Advertisement

“Jadi  jangan pula bila dah letak jawatan seperti orang gila talak. Jadi kita tidak mahu gila talak macam mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka, di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Gobind yang mencabar beliau meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Advertisement

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata adalah menjadi hak setiap parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan untuk menentukan haluan masing-masing, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Beliau menambah, dalam mesyuarat Jemaah Menteri,  menteri BN sentiasa menyokong dasar Kerajaan Perpaduan, dan tidak berbeza pendapat dengan Anwar.

Hal ini sekali gus, katanya membuktikan sokongan BN terhadap kepimpinan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

“Tidak timbul kita tidak menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar di peringkat Persekutuan.

“Ini lebih terang dan lebih nyata sebab ketika di dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah sekali pun menteri-menteri daripada BN tidak bersetuju dengan dasar-dasar Kerajaan Perpaduan ataupun berbeza pendapat dengan Perdana Menteri.

“Ini semua menteri-menteri menyaksikan,” ujarnya lagi.

Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

Loke dalam satu kenyataan berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.

Sementara, Ahmad Zahid dilapor berkata tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet.

Sebaliknya, beliau berpandangan adalah lebih baik Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu. 
 

Must Watch Video

Advertisement