KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd untuk membentuk syarikat JV, UPP Holdings Sdn Bhd.

Gamuda dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata JV yang dicadangkan itu bertujuan melaksanakan inisiatif pembiayaan swasta untuk membangunkan Loji Janakuasa Hidroelektrik Upper Padas di Tenom, Sabah dengan anggaran kos projek berjumlah RM4 bilion.

Kumpulan itu menjelaskan akan membeli 45 peratus kepentingan dalam syarikat JV itu, manakala Sabah Energy akan memegang 40 peratus dan baki 15 peratus lagi dipegang oleh Kerjaya Kagum.

Menurutnya projek empangan hidroelektrik itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh syarikat JV berkenaan iaitu Upper Padas Power Sdn Bhd yang akan berperanan sebagai pemaju projek.

"Projek ini dianggarkan melibatkan tempoh pembinaan selama lima tahun dan tempoh pengoperasian permulaan selama 40 tahun.

"Sebagai sebahagian daripada JV yang dicadangkan itu, Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) akan dimuktamadkan dan dimeterai antara pemaju projek dan pihak yang membeli perkhidmatan berkenaan iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd," katanya.

Menurut kumpulan itu, apabila siap, projek ini akan memberi kapasiti penjanaan tambahan sebanyak 187.5 MW kepada Sabah, menyediakan sehingga 1.052 gigawatt-jam tenaga bersih setahun.

Gamuda akan membuat pengumuman berkenaan perincian tarif dan perkembangan PPA sebaik sahaja kelulusan sewajarnya diterima, katanya sambil memaklumkan pemaju projek akan melaksanakan PPA menjelang separuh pertama 2024.

JV yang dicadangkan itu akan dibiayai menerusi penjanaan dana dan pinjaman secara dalaman dengan nisbah hutang kepada ekuiti minimum 80:20, katanya.

"Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, projek ini dijangka memulakan pembinaan pada 2024, dengan operasi komersial akan bermula pada 2029," kata Gamuda.

-- BERNAMA