KUALA LUMPUR: Genting Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2022 dengan keuntungan bersih berjumlah RM128.02 juta berbanding kerugian bersih RM344.55 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2021.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu menjelaskan prestasi kembali mencatatkan keuntungan itu didorong oleh perolehan lebih tinggi terutama daripada bahagian kegiatan masa senggang dan hospitaliti susulan pembukaan pasaran pelancongan serantau dan peningkatan semula perolehan perjudian.

Perolehan melonjak sebanyak 75 peratus kepada RM6.12 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2022 daripada RM3.50 bilion pada suku sama tahun kewangan 2021.

Menurut Genting, pemulihan Resorts World Sentosa (RWS) masih berterusan pada suku ketiga itu.

"Keseluruhan prestasi operasi RWS yang lebih baik mencerminkan pemulihan pasaran pelancongan serantau yang berterusan, namun pemulihan sedemikian masih belum mendorong keadaan kembali kepada tahap sebelum pandemik.

"Peningkatan semula perolehan perjudian telah dipacu oleh pelanggan lebih mewah dan premium yang menginap bagi tempoh yang lebih lama sedikit," tambahnya.

Selain itu, pembukaan Genting SkyWorlds pada Februari 2022 juga telah menyumbang kepada peningkatan perolehan hasil bukan perjudian pada suku ketiga.

Perolehan bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 terjejas teruk ekoran penutupan sementara Resorts World Genting (RWG) dari 1 Jun, 2021 hingga 29 Sept, 2021 ditambah dengan pengenaan sekatan perjalanan di seluruh negara yang disebabkan kesan buruk pandemik COVID-19.

Dalam melangkah maju, Genting dirangsangkan oleh peningkatan kunjungan ke RWG selepas pembukaan semula sempadan negara dan pelonggaran sekatan COVID-19 di rantau ini.

Dari segi kemungkinan cabaran dalam persekitaran operasi, syarikat itu akan terus memantau rapat risiko dan permintaan serta akan bertindak sewajarnya.

Genting kekal fokus dalam menguruskan hasil dan keberuntungan di RWG dan akan terus giat memasarkan produk dan perkhidmatan RWG kepada jumlah ahlinya dan segmen lain di Malaysia dan di rantau ini.

Harga saham Genting Bhd di Bursa Malaysia melonjak 27 sen untuk ditutup pada RM4.48 dengan 30.08 juta saham didagangkan.

-- BERNAMA