KUALA LUMPUR: Pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mengintegrasikan teknologi Near Field Communication (NFC) dan perkhidmatan perbankan patuh syariah dengan dikuasakan 5G, dalam perniagaan.

Ia ditawarkan melalui kempen Go Niaga yang merupakan kolaborasi antara Unifi Business dan Maybank Islamic yang menggabungkan digital dan kewangan untuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif bagi semua usahawan tempatan.

Naib Presiden, Unifi Business, Mohamad Yusman Ammeran berkata Go Niaga merupakan perbankan perniagaan mudah alih menggabungkan perkhidmatan pembayaran dan pembiayaan daripada Maybank Islamik dan pakej mudah alih UNI5G Unifi Business.

“Kita sedia maklum usahawan mikro ni kebanyakannya solopreneurs ataupun one-man show, tidak ada premis ataupun kedai dan kebiasaannya beroperasi dari rumah.

“Dengan sumber yang terhad fokus mereka adalah kepada kelangsungan perniagaan. Oleh sebab itu interaksi dengan pelanggan tanpa mengira masa dan tempat amatlah penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Tambah Yusman, antara tawaran menarik melalui Go Niaga ialah kemudahan Tap2Phone, yang menggunakan teknologi NFC untuk menjadikan telefon 5G sebagai terminal point of sale (POS) bagi memudahkan pembayaran kad debit atau kredit pelanggan.

Selain itu, menurutnya, Go Niaga juga menawarkan pendaftaran akaun SME First Account-I kepada PMKS tanpa caj bulanan, dengan deposit hanya RM100. Seterusnya, Pembiayaan Digital sehingga RM500,000 dan perundingan pembiayaan perniagaan sehingga RM20 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif & Ketua Perbankan Komuniti, Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman dalam temu bual sama berkata perkhidmatan yang ditawarkan melalui pakej Go Niaga akan menangani isu yang dihadapi PMKS.

“Antara cabaran yang dihadapi oleh PMKS adalah kekurangan dana, akses pasaran yang terhad, kekurangan tenaga kerja, dan penguasaan dan penggunaan teknologi digital yang rendah,” jelasnya.

Tambahnya bagi Maybank Islamik, kerjasama melalui kempen Go Niaga ini merupakan antara usaha untuk meluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan melalui pendekatan Perbankan Sebagai Perkhidmatan.

“Perbankan Sebagai Perkhidmatan, adalah usaha dari pihak Maybank untuk membolehkan rakan-rakan niaga yang terdiri daripada institusi-institusi kewangan mahupun bukan kewangan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada pelanggan mereka.

“Tawatan perkhidmatan tersebut boleh dibuat tanpa memerlukan rakan niaga tersebut perlu menyediakan infrastruktur perbankan mereka sendiri. Ini dijayakan dengan menghubungkan sistem daripada kedua dua buah institusi melalui teknolgi API (Application Programming Interface),” ujarnya.

Kempen Go Niaga terbuka kepada semua PMKS, bermula sejak 21 Februari hingga 29 Mei 2024. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang maybank.my/goniaga atau biz.unifi.com.my/goniaga.


Agenda AWANI: Go Niaga memperkasa usahawan mikro