Di dalam satu penstrukturan semula secara besar-besaran, Google melalui pengasasnya Larry Page hari ini mengumumkan penubuhan syarikat baharu yang akan mengambil alih syarikat gergasi internet itu sepenuhnya, iaitu syarikat Alphabet.

Alphabet akan dikendalikan oleh Page sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Sergey Brin, yang juga pengasas bersama Google, sebagai Presiden.

Langkah ini adalah proses untuk mengembangkan lagi Google tetapi Page telah mengambil langkah yang berbeza dengan mengecilkan Google dan menyerapkannya di dalam sebuah syarikat induk.

Alphabet, menurut Page, mempunyai banyak syarikat naungan di bawahnya dengan Google sebagai anak syarikat paling besar. Setiap anak syarikat ini akan mewakili satu abjad, dengan Google mengambil abjad G.

Google akan terus memfokuskan kepada produk utama internet. Bagi tujuan ini, Sundar Pichai telah diumumkan sebagai CEO Google yang baharu.

"Syarikat kami beroperasi dengan baik sehingga hari ini, tetapi kami rasa kami boleh menjadikan ia lebih sempurna dan lebih bertanggungjawab," kata Page.

Page juga menyatakan bahawa Sundar merupakan calon yang tepat bagi jawatan itu kerana pretasi kecemerlangan serta dedikasi beliau kepada syarikat tersebut cukup mengagumkan.

"Pretasi Sundar semakin meningkat sejak beliau mengambil tanggungjawab dalam operasi produk dan kejuruteraan untuk perniagaan Internet kami pada Oktober lalu.

"Sergey dan saya amat teruja dengan kemajuan dan dedikasi beliau kepada syarikat ini," Page berkata dalam satu kenyataan.

Di bawah Alphabet, setiap satu projek ataupun operasi akan mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif dan kepimpinan tersendiri, manakala Sundar dan Google akan mengekalkan sistem kawalan carian, iklan Google, Google Maps, Google Play Store, YouTube, dan Android.

Bagaimanapun, inovasi dan operasi eksperimen dalam syarikat Google akan dikurangkan dan tumpuan hanya diberi kepada sistem operasi Chrome dan Android.

Syarikat Alphabet juga akan mengarah operasi pembiayaan peringkat awal Google, yang dikenali sebagai Capital dan Ventures.

Google X, iaitu makmal eksperimen syarikat tersebut akan dikendalikan secara berasingan oleh Brin.