Fitch Ratings (Fitch) menyemak naik unjuran ekonomi Malaysia kepada stabil daripada negatif berdasarkan kemampanan fiskal serta kestabilan ekonomi negara.

Firma penarafan kredit antarabangsa itu dalam satu kenyataan media yang disiarkan dalam laman web rasminya berkata semakan unjuran itu dinilai berdasarkan kedudukan fiskal negara yang semakin baik, pertumbuhan ekonomi menggalakkan, penurunan defisit serta nisbah kecairan luar.

Katanya, berdasarkan penilaian faktor terbabit semakan unjuran berada pada paras yang tidak melebihi garis penengah serta ia dijangka meningkat dalam tempoh kajian.

Bagaimanapun, semak naik unjuran ekonomi Malaysia masih mengekalkan penarafan kegagalan penerbitan (IDR) mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang di mana masing-masing dinilai pada 'A-' dan 'A'

"Kewangan fiskal Malaysia bertambah baik sejak tahun lalu, dan defisit kerajaan berjaya dikurang kepada 3.8 peratus pada 2014 berbanding 4.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun sebelumnya," katanya.

Manakala, hutang kerajaan mencatatkan penurunan sebanyak 53.9 peratus pada penghujung 2014 berbanding 54.7 peratus untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

Mengulas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta pemansuhan subsidi bahan api, Fitch menyifatkan langkah positif yang dilaksanakan kerajaan Malaysia berjaya menyokong kewangan fiskal negara.

Selain itu, katanya, negara terus menikmati kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menggalakkan serta kukuh dengan kadar inflasi berada pada paras rendah.