GWM rasmi lancar WEY G9 Hi4 PHEV di Malaysia

Majlis pelancaran GWM WEY G9 Hi4 PHEV di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dimeriahkan dengan pelbagai slot demonstrasi dari pihak GWM. - Foto GWM Malaysia
KUALA LUMPUR: Dalam peralihan pesat industri automotif global ke arah tenaga baharu, Malaysia terus menonjol sebagai pangkalan strategik serantau apabila Great Wall Motor (GWM) Malaysia secara rasmi melancarkan GWM WEY G9 Hi4 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV), sekali gus mencatat sejarah sebagai MPV mewah tenaga baharu dari China yang pertama dipasang secara tempatan.
Ringkasan AI
- Dalam peralihan pesat industri automotif global ke arah tenaga baharu, Malaysia terus menonjol sebagai pangkalan strategik serantau apabila Great Wall Motor (GWM) Malaysia secara rasmi melancarkan GWM WEY G9 Hi4 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV), sekali gus mencatat sejarah sebagai MPV mewah tenaga baharu dari China yang pertama dipasang secara tempatan.
- Pelancaran ini menegaskan komitmen jangka panjang GWM untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan serta pusat eksport utama bagi pasaran ASEAN, selari dengan aspirasi negara dalam pembangunan industri automotif dan tenaga baharu.
- Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pemasangan tempatan WEY G9 Hi4 PHEV menyokong dasar kerajaan serta mengukuhkan ekosistem automotif negara.
- WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan dalam pilihan warna Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black, dengan tema dalaman hitam atau coklat dan mula dipasarkan pada harga runcit disyorkan bermula RM269,800.

Roslan ketika memberikan ucapan alu-aluan sekali gus memperkenalkan model baharu GWM WEY G9 Hi4 PHEV. - Foto GWM Malaysia
“Dengan pemasangan secara tempatan, kita akan membantu ataupun menyokong dasar kerajaan, terutama dalam NAP 2020 untuk membangunkan ekosistem automotif lokal.
“Bila proses pemasangan secara tempatan ini terlibat, ia akan secara tidak langsung memperkasa kerajaan tempatan dan peniaga tempatan di mana mereka akan membuka peluang pekerjaan dan juga penambahan penghasilan segi material,” katanya di majlis pelancaran GWM WEY G9 Hi4 PHEV di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada Khamis.
Menurut Roslan, langkah ini memperkasa peluang pelaburan negara melalui latihan tenaga kerja tempatan serta pemindahan teknologi, khususnya bagi menyokong pertumbuhan kenderaan PHEV.
“Kita lihat pada masa akan datang kita akan merancang untuk melatih pekerja-pekerja tempatan ini supaya lebih berkeupayaan daripada segi teknikal dan kemahiran terutama untuk memastikan kenderaan PHEV ini dapat disenggara lebih baik.
“Dan daripada segi itu juga pelaburan-pelaburan dari segi teknologi dan pemindahan teknologi akan memberi kelebihan kepada Malaysia,” jelasnya.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin ketika memberi ucaptama dalam merasmikan majlis. - Foto GWM Malaysia
Majlis pelancaran GWM WEY G9 Hi4 PHEV dirasmikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin dan turut diserikan dengan kehadiran Naib Presiden GWM International, James Yang serta Dr. Hu Xin, Ketua Jurutera Sistem Bervoltan Tinggi, GWM.
Dari segi prestasi, WEY G9 Hi4 PHEV dilengkapi sistem hibrid pintar pacuan 4 roda yang menggabungkan enjin turbo bersama dua motor elektrik, menghasilkan kuasa gabungan 442 PS dan 642 Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam 5.7 saat, selain menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer dan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 kilometer.
Kecekapan ini disokong penggunaan bahan api sekitar 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer walaupun pada tahap bateri rendah, menerusi pengurusan tenaga pintar serta pertukaran lancar antara mod hibrid siri dan selari, menjadikannya sesuai dengan persekitaran pemanduan sebenar di Malaysia.

GWM WEY G9 Hi4 PHEV menawarkan pengalaman pemanduan yang selesa sambil mengekalkan ciri luaran elegan. - Foto GWM Malaysia
Dibangunkan berteraskan falsafah First Class For All, WEY G9 Hi4 PHEV mengutamakan keselesaan di ketiga-tiga barisan tempat duduk dengan panjang 5,050 milimeter dan jarak roda 3,085 milimeter, kabin direka dengan lantai rata serta laluan tengah yang luas bagi meningkatkan akses dan pergerakan.
Tempat duduk hadapan dilengkapi upholstery atau penapis kulit Nappa dengan pelarasan elektrik dan fungsi pengudaraan, termasuk fungsi urutan 10-titik untuk pemandu serta suis BOSS untuk penumpang hadapan.
Manakala, barisan kedua pula menawarkan tempat duduk kapten Zero Gravity dengan fungsi rebah satu sentuhan. Barisan ketiga pula direka mesra penumpang dewasa, menjadikannya sesuai untuk kegunaan keluarga harian dan perjalanan jarak jauh.
Pengalaman kabin turut dipertingkatkan dengan tahap bunyi rendah hanya 63.4 desibel pada kelajuan 120 kilometer sejam, hasil gabungan kaca akustik dwilapisan, penebat struktur dan teknologi pembatalan bunyi aktif HALOSonic. Ia turut dilengkapi sistem audio premium 21 pembesar suara berkuasa 2,440 watt yang ditala khusus mengikut akustik kabin.
Dari sudut praktikal, WEY G9 Hi4 PHEV menawarkan 11 port pengecasan USB, output kuasa luaran 3.3kW untuk aktiviti luar, serta peti sejuk pintar dual-opening berkapasiti 12.5 liter dengan susun atur dua tingkat dan julat suhu 0–50°C (penyejukan, pemanasan dan fresh-keeping), yang mampu beroperasi sehingga 24 jam walaupun kenderaan dimatikan. Semua fungsi ini boleh dipantau dan dikawal menerusi aplikasi mudah alih kenderaan.
Aspek keselamatan turut diberi keutamaan tanpa kompromi dengan struktur badan kenderaan terdiri daripada lebih 83.01 peratus keluli berkekuatan tinggi, pengukuhan struktur antara 1,500 hingga 2,000 MPa serta bumbung yang mampu menahan tekanan sehingga 12 tan.
Beg udara tirai penuh meliputi semua barisan tempat duduk, disokong sistem bantuan pemandu termaju Tahap 2 dengan lebih 20 ciri keselamatan pintar, selain sistem bateri yang telah melepasi 89 ujian keselamatan ketat.
WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan dalam pilihan warna Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black, dengan tema dalaman hitam atau coklat dan mula dipasarkan pada harga runcit disyorkan bermula RM269,800.

Ruang dalaman GWM WEY G9 Hi4 PHEV. - Foto GWM Malaysia
Pelanggan juga dapat menikmati pakej pemilikan menyeluruh termasuk skrin hiburan barisan kedua percuma untuk 1,000 pelanggan terawal, lima tahun data perkhidmatan berhubung percuma, lima tahun penyelenggaraan percuma, pengecas dinding rumah percuma, jaminan kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan serta jaminan sistem hibrid lapan tahun atau 180,000 kilometer.
WEY G9 Hi4 PHEV dipasang secara tempatan di Malaysia dan berfungsi sebagai pangkalan eksport serantau bagi ASEAN dengan eksport ke Thailand telah bermula dan pasaran tambahan sedang giat dirancang.

Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika menerma "mock key" WEY G9 Hi4 PHEV. - Foto GWM Malaysia
GWM Malaysia turut melantik Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai duta WEY G9, sejajar dengan penjenamaan MPV mewah ini yang direka untuk keluarga dan golongan profesional.
Dengan gabungan prestasi Hi4 PHEV, jarak pemanduan jauh, keselamatan menyeluruh, keselesaan premium serta pemasangan tempatan, GWM WEY G9 Hi4 PHEV menetapkan penanda aras baharu dalam segmen MPV mewah di Malaysia.

WEY G9 Hi4 PHEV dipasang secara tempatan di Malaysia. - GWM Malaysia
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


