Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Harapan raih tempahan baharu Boeing sempena sidang kemuncak AS-China semakin pudar

51730081123_tbBoeing.jpg
Harapan Boeing raih tempahan baharu dari China sempena sidang kemuncak Trump-Xi semakin pudar, namun usaha memuktamadkan perjanjian pembelian 200 pesawat masih diteruskan. - Foto fail/AP
Advertisement

SEATTLE: Harapan untuk memperoleh komitmen baharu China bagi pembelian pesawat keluaran Boeing sempena sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Khamis dilaporkan semakin pudar apabila rundingan masih belum dimuktamadkan.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, pengeluar pesawat AS berkenaan kini memberi tumpuan kepada usaha memuktamadkan perjanjian yang dicapai pada Mei lalu melibatkan pembelian 200 pesawat oleh China, berbanding harapan awal untuk mendapatkan tempahan baharu membabitkan ratusan pesawat tambahan.

Perjanjian sementara yang dicapai susulan pertemuan terdahulu antara Trump dan Xi telah membuka semula peluang Boeing bersaing dalam pasaran pesawat China selepas syarikat itu berdepan kesukaran memperoleh tempahan baharu dari negara berkenaan sejak 2017.

China dijangka memerlukan kira-kira 9,000 pesawat baharu menjelang 2045, menjadikannya antara pasaran penerbangan terbesar di dunia.

Sebelum ini, pertemuan antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini dijangka menjadi pemangkin kepada tempahan baharu yang lebih besar, dengan perbincangan awal dikatakan melibatkan sehingga 500 pesawat.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg, minggu lalu memberi bayangan bahawa pengumuman tempahan besar semasa lawatan negara Xi ke Washington mungkin tidak akan berlaku.

Penganalisis berkata kejayaan mengekalkan perjanjian pembelian 200 pesawat yang diumumkan sebelum ini sudah dianggap satu pencapaian penting bagi syarikat itu.

Selain isu pesawat, pegawai AS dan China kini lebih memberi tumpuan kepada usaha melanjutkan gencatan perdagangan antara kedua-dua negara, selain membincangkan isu kecerdasan buatan (AI), penjualan senjata kepada Taiwan serta perdagangan kacang soya dan mineral nadir bumi.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, pada Rabu berkata Washington dan Beijing telah bersetuju melanjutkan gencatan perdagangan selama dua bulan lagi bagi memberi ruang kepada rundingan ke arah perjanjian yang lebih menyeluruh.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pencabar utama Boeing, iaitu Airbus, berjaya mengukuhkan kedudukannya di China, sebahagiannya melalui kemudahan pemasangan pesawatnya di Tianjin serta hubungan Eropah-China yang dilihat lebih stabil berbanding hubungan Beijing-Washington.

Walaupun prospek tempahan baharu masih tidak menentu, beberapa sumber menyatakan sebahagian butiran akhir bagi perjanjian 200 pesawat itu mungkin diumumkan semasa sidang kemuncak sekiranya kontrak berkaitan berjaya dimuktamadkan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement