Skip to main content

Bisnes

Harga minyak stabil, inflasi Malaysia kekal sederhana - APEX

61769693296_tbpetrolRON.jpg
Menurut Apex, had harga bahan api RON95 sebanyak RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak akan terus mengehadkan pemindahan kesan kenaikan kos kepada harga domestik.

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka stabil selepas lonjakan awal didorong oleh faktor geopolitik, mengekalkan kadar inflasi Malaysia pada tahap sederhana pada 1.6 hingga 1.9 peratus dan defisit fiskal tahun 2026 diunjurkan pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Apex Securities Bhd.

Menurut firma itu dalam nota penyelidikan, kesan inflasi dijangka kekal terhad, dengan setiap kenaikan minyak mentah Brent US$10 setong (bbl) dianggarkan akan meningkatkan inflasi keseluruhan hanya sebanyak 0.1 mata peratusan, mengekalkan inflasi 2026 dalam julat 1.6 hingga 1.9 peratus.

Advertisement

Pasaran minyak kembali tenang selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pada Selasa bahawa pentadbirannya bercadang untuk memberikan jaminan insurans dan tentera laut AS sebagai pengiring untuk memastikan laluan selamat bagi kapal tangki minyak dan kapal lain melalui Selat Hormuz.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 2.15 peratus kepada US$83.24 setong.

Menurut Apex, had harga bahan api RON95 sebanyak RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak akan terus mengehadkan pemindahan kesan kenaikan kos kepada harga domestik.

Dari perspektif fiskal, katanya harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan hasil berkaitan petroleum tetapi turut menaikkan kos subsidi.

“Anggaran kami menunjukkan bahawa setiap kenaikan minyak mentah Brent US$10/bbl meningkatkan hasil kerajaan kira-kira RM3 bilion selain menaikkan perbelanjaan subsidi bahan api sebanyak kira-kira RM3.5 bilion, membawa kepada hanya impak fiskal bersih yang sederhana.

“Secara keseluruhan, kami menjangka kerajaan akan kekal di landasan untuk mencapai sasaran defisit fiskal 2026 sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK,” katanya.

Menurut Apex, walaupun berdepan ketegangan geopolitik, permintaan berterusan untuk produk elektronik dan elektrik (E&E) dalam fasa pertumbuhan teknologi yang dipacu kecerdasan buatan akan terus menyokong pertumbuhan luaran.

Pada peringkat domestik, Apex mengekalkan unjuran KDNK 2026 pada 4.7 peratus, menurun daripada 5.3 peratus pada 2025, disokong oleh ketibaan pelancong yang tinggi di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026, sokongan dasar berterusan untuk isi rumah berpendapatan rendah dan pelaburan yang kukuh didorong oleh pengembangan pusat data yang berterusan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video