KUALA LUMPUR:“Saya sifatkan anugerah diterima kali ini adalah paling tinggi, kerana ia merupakan pengiktirafan di peringkat ASEAN.

"Namun, sebenarnya ia adalah pencapaian rakyat Malaysia di atas sokongan diberikan terhadap jenama kami, khususnya produk susu Farm Fresh,” katanya.

Demikian reaksi Ketua Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein) Azmi Zainal ketika dihubungi Astro AWANI setelah syarikat tersebut berjaya merangkul anugerah The Winner Inclusive Business dalam majlis berprestij antarabangsa The ASEAN Business Award 2020 (ABA 2020) baru-baru ini.

Holstein dipilih daripada 10 syarikat-syarikat di negara ASEAN yang tercalon merangkul anugerah dalam kategori tersebut menerusi pelan perniagaan yang diperkenalkan syarikat, khususnya dalam membuka peluang perniagaan dan pendapatan tambahan kepada golongan memerlukan.

ABA merupakan acara tahunan yang dianjurkan The ASEAN Business Advisory Council (ASEAN BAC) sejak 2007.

Menurut Azmi, sistem diperkenalkan syarikat berjaya melahirkan usahawan mikro termasuk dalam kalangan suri rumah yang mampu menjana pendapatan minimum sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

“Bagi model perniagaan diperkenalkan, syarikat melaksanakan kaedah pemasaran, melantik para stokis dan pengedar, bagi memperluaskan produk kami di seluruh negara.

“Ia sekali gus memberi peluang perniagaan kepada orang ramai dan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan, terutama dalam tempoh ketika masyarakat bergelut dengan kesan COVID-19 ketika ini,” ujarnya. 


sifatkan anugerah diterima kali ini adalah paling tinggi kerana ia merupakan pengiktirafan di peringkat ASEAN


Selain di Malaysia, kaedah perniagaan menerusi produk dikeluarkan Holstein turut diperkenalkan di Brunei dan Singapura.

Malah, syarikat tersebut juga merancang memperluaskannya bagi pasaran Indonesia.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan penghasilan susu kepada 10 juta liter setahun bagi ladang, iaitu di Lembah Tenusu Muadzam, Pahang, berbanding 8 juta liter setakat ini.

“Sasaran tersebut disokong usaha perluasan kawasan sedia ada selain tambahan ternakan di landang induk, malah kita menjangkakan ladang tambahan itu boleh mula berhasil pertengahan tahun hadapan.

“Setakat ini dalam tempoh setahun, syarikat mampu menghasilkan sebanyak 12 juta liter susu menerusi keempat-empat buah ladang sedia ada termasuk sumbangan daripada peladang satelit yang kita ada,” jelasnya.

Ketika ini, Holstein mempunyai empat buah ladang termasuk di Johor.

Holstein turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak bagi memperluaskan ladang di Bumi Kenyalang tersebut pada pertengahan tahun hadapan.


INFO Holstein:
  1. Produk susu jenama Farm Fresh dikeluarkan The Holstein Milk Sdn. Bhd. (Holstein) adalah syarikat pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
  2. Holstein bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengadakan teknologi berkaitan penternakan.
  3. Holstein memegang sebanyak 55 peratus pasaran susu segar di Malaysia dan menghasilkan 12 juta liter susu segar setahun.
  4. Holstein adalah syarikat induk yang mengendalikan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) milik Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Pahang.
  5. Holstein juga pernah menerima anugerah Outstanding Dairy Farm Award dari Livestock Asia pada tahun 2015 berdasarkan penghasilan susu jenama Farm Fresh yang telah dihasilkan.