Skip to main content

Dunia

Pasaran global bergegar, negara dagang bantah tarif baharu Trump

Pentadbiran Trump pada Rabu mengumumkan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama termasuk China, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Foto AP
Pentadbiran Trump pada Rabu mengumumkan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama termasuk China, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Foto AP

Ringkasan AI

  • Amerika Syarikat mengumumkan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama termasuk China, EU, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand.
  • China, Kesatuan Eropah dan Switzerland menolak dakwaan AS mengenai lebihan kapasiti pengeluaran dan menyuarakan bantahan terhadap tarif tersebut.
  • Pasaran kewangan global tertekan, dengan indeks utama AS menjunam dan hasil bon menurun akibat kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia.
Advertisement

WASHINGTON: Beberapa rakan dagang utama Amerika Syarikat (AS) menyuarakan bantahan terhadap cadangan tarif baharu Presiden Donald Trump, manakala pasaran kewangan global turut tertekan susulan kebimbangan bahawa langkah itu boleh mencetuskan ketegangan perdagangan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.

Pentadbiran Trump pada Rabu mengumumkan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama termasuk China, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Langkah itu dibuat selepas siasatan perdagangan yang mendakwa beberapa negara menikmati kelebihan tidak adil menerusi lebihan kapasiti pengeluaran, sekali gus membanjiri pasaran global dengan barangan murah.

Advertisement

China menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai alasan politik.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata isu yang digelar sebagai "lebihan kapasiti" itu tidak berasas, sambil menggesa Washington dan Beijing mengekalkan hubungan yang stabil.

Advertisement

Kesatuan Eropah turut menolak asas siasatan berkenaan. Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Olof Gill, berkata Brussels akan meneliti penemuan AS tetapi tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa Eropah menjadi punca lebihan kapasiti pengeluaran global.

"Sebaliknya, Eropah antara pihak yang paling terdedah kepada kesan lebihan kapasiti tersebut," katanya seperti dipetik Al Jazeera.

Kerajaan Switzerland turut menolak tuduhan yang timbul daripada siasatan itu, manakala Norway menyambut baik keputusan Washington mengecualikan negara berkenaan daripada pusingan tarif terbaharu.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata negaranya tidak mengamalkan dasar yang menyumbang kepada lebihan kapasiti dan pengeluaran syarikat Norway adalah berdasarkan permintaan pasaran.

Pakar ekonomi pula memberi amaran bahawa langkah Washington itu boleh meningkatkan tekanan inflasi dan menambah ketidaktentuan ekonomi global menjelang 2027.

Rachel Ziemba dari Center for a New American Security berkata masa pengumuman itu, menjelang sidang kemuncak G20 bulan depan, berpotensi membuka ruang rundingan tetapi pada masa sama meningkatkan risiko turun naik ekonomi.

Reaksi negatif turut dapat dilihat di pasaran kewangan AS.

Indeks Nasdaq menjunam 3.9 peratus dalam dagangan awal, manakala S&P 500 merosot 2.8 peratus dan Dow Jones susut 1.4 peratus apabila pelabur menilai kesan tarif baharu terhadap perdagangan dan pertumbuhan ekonomi.

Hasil bon kerajaan AS dan Eropah turut menurun, mencerminkan peningkatan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi global.

Menurut laporan Al Jazeera, tarif tertinggi yang dicadangkan ialah 20 peratus ke atas China, menambah kepada tarif sedia ada yang dikenakan oleh Trump semasa penggal pertamanya sebagai presiden.

 

 

Must Watch Video

Advertisement