Skip to main content

Dunia

Hakim Israel syor gugur kebanyakan pertuduhan rasuah terhadap Netanyahu

Netanyahu, yang didakwa pada 2019, mengalu-alukan perkembangan itu dan menegaskan perbicaraan berkenaan wajar ditamatkan segera. - Foto fail/REUTERS
Netanyahu, yang didakwa pada 2019, mengalu-alukan perkembangan itu dan menegaskan perbicaraan berkenaan wajar ditamatkan segera. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Panel hakim Israel mencadangkan pendakwa raya menggugurkan pertuduhan rasuah paling serius terhadap Benjamin Netanyahu dalam "Kes 4,000".
  • Hakim turut mempersoalkan kekuatan bukti dalam "Kes 2,000" dan mencadangkan penyelesaian perjanjian pengakuan bersalah bagi "Kes 1,000".
  • Cadangan ini dijangka mengukuhkan kedudukan politik Netanyahu ketika usaha pembentukan kerajaan baharu sedang berlangsung di Israel.
Advertisement

BAITULMAQDIS: Panel hakim Israel mencadangkan supaya pendakwa raya menggugurkan pertuduhan rasuah paling serius terhadap Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu, sekali gus memberi kelebihan politik kepada beliau ketika usaha pembentukan kerajaan baharu sedang berlangsung.

Menurut laporan BBC, hakim Mahkamah Daerah Baitulmaqdis memaklumkan kepada Peguam Negara Israel, Gali Baharav-Miara, bahawa peluang untuk mensabitkan Netanyahu dalam kes yang dikenali sebagai "Kes 4,000" adalah rendah.

Kes itu melibatkan dakwaan bahawa Netanyahu memberi layanan istimewa kepada syarikat telekomunikasi terbesar Israel sebagai balasan kepada liputan media yang memihak kepadanya.

Advertisement

Netanyahu dan individu yang terlibat telah menafikan sebarang salah laku.

Hakim turut mempersoalkan sama ada tindakan Netanyahu dalam "Kes 2,000", yang berkaitan dakwaan pertukaran kepentingan dengan seorang pemilik media, benar-benar memenuhi unsur jenayah.

Advertisement

Bagi "Kes 1,000", yang melibatkan dakwaan penerimaan hadiah mewah seperti cerut dan champagne daripada seorang jutawan Australia, hakim mencadangkan kemungkinan penyelesaian melalui perjanjian pengakuan bersalah dipertimbangkan.

Netanyahu, yang didakwa pada 2019, mengalu-alukan perkembangan itu dan menegaskan perbicaraan berkenaan wajar ditamatkan segera.

"Dakwaan yang direka-reka terhadap saya kini semakin runtuh," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Peguam Negara Baharav-Miara berkata beliau akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh panel hakim tersebut.

Kes rasuah terhadap Netanyahu selama ini menjadi antara isu paling memecahbelahkan politik Israel dan terus berjalan walaupun negara itu berdepan perang di Gaza.

Perkembangan terbaharu itu dijangka mengukuhkan kedudukan politik Netanyahu ketika pencabarnya, Gadi Eisenkot, sedang berusaha membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum bulan lalu yang gagal menghasilkan majoriti jelas.

Selain itu, Netanyahu masih berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan dakwaan jenayah perang di Gaza, yang turut dinafikannya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement