Ringkasan AI
- Seramai 31 orang maut dan 21 cedera dalam kebakaran besar selepas lori tangki bahan api terlibat kemalangan di Jalan Lingkaran Kaherah, Mesir.
- Lori tangki dipercayai terbalik selepas pemandu hilang kawalan akibat kabel elektrik voltan tinggi terjatuh di hadapan kenderaan tersebut.
- Pihak berkuasa telah membuka siasatan, mengarahkan ujian DNA, dan operasi menyelamat melibatkan 39 ambulans dijalankan di lokasi kejadian.
KAHERAH: Seramai 31 orang terbunuh manakala 21 lagi cedera dalam satu kebakaran besar yang tercetus selepas sebuah lori tangki bahan api terlibat dalam kemalangan di lebuh raya sibuk di ibu negara Mesir pada Rabu malam.
Menurut Kementerian Kesihatan Mesir, mangsa yang cedera dirawat di hospital berdekatan akibat melecur dan sesak nafas akibat menghidu asap tebal daripada kebakaran itu.
Insiden berlaku di Jalan Lingkaran Kaherah di kawasan Warraq, utara pusat bandar lama Kaherah.
Media milik kerajaan melaporkan lori tangki berkenaan terbalik sebelum petrol yang dibawanya tumpah ke atas beberapa kenderaan berhampiran, menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan api marak dan kepulan asap hitam tebal menjulang tinggi ke udara, manakala beberapa kenderaan di lokasi kejadian hangus terbakar.
Menurut akhbar Al-Ahram yang memetik sumber siasatan, pemandu lori tangki milik sebuah kontraktor swasta itu dipercayai hilang kawalan selepas kabel elektrik voltan tinggi terjatuh di hadapan kenderaannya.
Lori tersebut dikatakan merempuh pembahagi jalan, terbalik dan kemudian terbakar.
Pejabat pendakwa raya wilayah telah membuka siasatan berhubung kejadian itu serta mengarahkan ujian DNA dijalankan bagi membantu mengenal pasti mangsa yang maut.
Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 39 ambulans dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat dan penghantaran mangsa ke hospital.
Pasukan kecemasan berjaya memadam kebakaran dan membersihkan laluan yang terjejas sebelum lebuh raya itu dibuka semula kepada pengguna.
Mesir dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdepan beberapa insiden kebakaran maut serta kemalangan jalan raya yang sering dikaitkan dengan masalah penyelenggaraan infrastruktur dan pelanggaran peraturan lalu lintas.
Data rasmi menunjukkan hampir 6,000 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Mesir tahun lalu, meningkat berbanding tahun sebelumnya.