Skip to main content

Dunia

Hujan musim sejuk ancam 1,000 lokasi perlindungan di Gaza

Ramai keluarga terpaksa mengambil langkah sendiri untuk melindungi tempat perlindungan mereka daripada hujan. - Foto fail/REUTERS
Ramai keluarga terpaksa mengambil langkah sendiri untuk melindungi tempat perlindungan mereka daripada hujan. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Pihak berkuasa Gaza memberi amaran hujan musim sejuk boleh menyebabkan kira-kira 1,000 kem dan lokasi perlindungan ditenggelami banjir.
  • Kerosakan sistem saliran, kekurangan pam air dan lebih 2,000 bangunan rosak meningkatkan risiko banjir serta runtuhan di kawasan terjejas.
  • Pihak berkuasa tempatan menggesa bantuan segera termasuk pam air, penjana elektrik, bahan api, rumah mudah alih dan bahan binaan bagi menghadapi cuaca buruk.
Advertisement

GAZA: Pihak berkuasa tempatan di Gaza memberi amaran bahawa hujan musim sejuk yang dijangka melanda dalam beberapa hari lagi boleh menyebabkan kira-kira 1,000 kem dan lokasi perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal ditenggelami banjir.

Menurut Kesatuan Perbandaran Semenanjung Gaza, kerosakan sistem saliran dan pembetungan serta kekurangan pam air menyukarkan usaha mengalirkan air banjir dari kawasan terjejas.

Dalam mesyuarat di Bandar Gaza pada Rabu, pihak berkuasa mengenal pasti kawasan al-Mughraqa dan al-Zahra di tengah Gaza sebagai antara lokasi berisiko tinggi berikutan paras air di Wadi Gaza boleh meningkat secara mendadak.

Advertisement

Kesatuan itu memaklumkan sekitar 200,000 khemah perlu diganti, manakala lebih 2,000 bangunan yang rosak berisiko runtuh.

Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini turut memberi amaran mengenai kemungkinan ribut baharu dalam masa terdekat.

Advertisement

Ini merupakan musim sejuk keempat yang dihadapi penduduk Gaza sejak perang meletus pada Oktober 2023.

Menurut laporan Al Jazeera, ribut pada awal November lalu menenggelami kira-kira 70,000 khemah dan menjejaskan lebih 350,000 penduduk yang dipindahkan.

Ramai keluarga terpaksa mengambil langkah sendiri untuk melindungi tempat perlindungan mereka daripada hujan.

Ada yang menimbunkan pasir di pintu masuk khemah, manakala yang lain menyelamatkan barangan penting apabila air mula naik.

Seorang ibu yang dipindahkan akibat perang berkata beliau terpaksa menggunakan kain kapan yang dibelinya untuk anaknya bagi menampal khemah kerana gagal mendapatkan kanvas kalis air.

Sementara itu, Suruhanjaya Eropah menggesa Israel membuka semula semua pintu masuk ke Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lebih lancar.

Jurucakapnya, Eva Hrncirova, berkata khemah serta peralatan yang diperlukan untuk memasangnya masih menunggu di atas trak di luar Gaza kerana belum dibenarkan masuk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memaklumkan lebih 150,000 khemah masih menunggu kelulusan untuk dibawa masuk ke wilayah berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan kini menggesa bantuan segera berupa pam air, penjana elektrik, bekalan bahan api, rumah mudah alih serta bahan binaan bagi menghadapi cuaca buruk yang dijangka melanda dalam masa terdekat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement