DOHA: Sebuah lagi kapal tangki dilaporkan terbakar berhampiran Selat Hormuz selepas dipercayai terkena ranjau laut, ketika ketegangan konflik serantau terus mengancam keselamatan laluan perkapalan yang menjadi nadi perdagangan tenaga dunia.
Menurut laporan Al Jazeera yang memetik media Iran pada Rabu, insiden terbaharu itu menjadikan sekurang-kurangnya dua kapal tangki terjejas dalam tempoh singkat di kawasan perairan strategik berkenaan.
Media Iran melaporkan kebakaran berlaku selepas letupan dipercayai berpunca daripada ranjau laut yang dipasang di laluan pelayaran berhampiran selat tersebut.
Bagaimanapun, butiran mengenai identiti kapal, jumlah kru dan tahap kerosakan masih belum didedahkan.
Insiden itu berlaku ketika kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan di Selat Hormuz semakin memuncak susulan konflik yang semakin meluas di Asia Barat.
Selat Hormuz merupakan laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas asli dari negara-negara Teluk ke pasaran global.
Sebarang gangguan di kawasan itu berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dunia serta mencetuskan kenaikan harga minyak.
Terdahulu, sebuah kapal tangki lain turut dilaporkan terbakar selepas terkena ranjau di kawasan yang sama, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman terhadap kapal dagang yang melalui selat tersebut.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan, manakala pihak berkuasa maritim dan negara-negara yang mempunyai kepentingan di laluan itu sedang memantau perkembangan situasi dengan rapi.