Skip to main content

Bisnes

Hubungan dagang Malaysia, Taiwan kekal utuh - Apex Securities

81748413394_WestportsPortKlang.jpg
Pada separuh pertama 2026, perdagangan dua hala dengan Taiwan meningkat ketara sebanyak 34.7 peratus tahun ke tahun kepada RM147.8 bilion, bersamaan 8.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan Taiwan dijangka tidak terjejas secara ketara oleh perkembangan terkini buat masa ini, menurut APEX Securities.

Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang kukuh dengan Taiwan, rakan dagang kelima terbesar negara selepas Singapura, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) pada separuh pertama 2026.

Pada separuh pertama 2026, perdagangan dua hala dengan Taiwan meningkat ketara sebanyak 34.7 peratus tahun ke tahun kepada RM147.8 bilion, bersamaan 8.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Lebih penting lagi, Malaysia dan Taiwan mempunyai integrasi yang rapat dalam rantaian nilai semikonduktor global, dengan Malaysia membangunkan keupayaan kukuh dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor yang merangkumi kira-kira 13 peratus daripada pasaran global.

Dalam nota penyelidikan hari ini, APEX Securities berkata pihaknya menjangkakan perdagangan dan pelaburan dua hala ini kekal tidak terjejas, termasuk dalam kemudahan pembungkusan dan pengujian termaju serta berpotensi dalam segmen bernilai tambah lebih tinggi, apabila syarikat meningkatkan kapasiti merentasi rantaian bekalan semikonduktor yang lebih luas.

“Selain itu, memandangkan rantaian bekalan semikonduktor yang sangat bersepadu dan khusus, kami melihat ruang yang terhad bagi perniagaan untuk beralih dengan pantas kepada pembekal alternatif sebagai tindak balas terhadap perkembangan politik,” katanya.

Malaysia mendapat manfaat daripada teknologi, modal dan hubungan rantaian bekalan Taiwan, manakala syarikat Taiwan meraih manfaat daripada tenaga kerja mahir, infrastruktur, ekosistem semikonduktor yang kukuh serta akses strategik Malaysia ke pasaran serantau.

Berdasarkan pengiraan kasar, produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang sebanyak 65.9 peratus daripada eksport Malaysia ke Taiwan pada suku pertama 2026.

“Integrasi yang kukuh ini seharusnya mengehadkan risiko gangguan jangka pendek terhadap perdagangan dua hala,” katanya.

Secara keseluruhan, APEX Securities berpandangan prospek ekonomi Malaysia kekal utuh buat masa ini dan mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2026 pada lima peratus tahun ke tahun, iaitu pada paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi Bank Negara Malaysia sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Prestasi eksport E&E dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) juga dijangka terus disokong oleh kitaran peningkatan teknologi global serta usaha berterusan mempelbagaikan rantaian bekalan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement