Skip to main content

Dunia

'Dunia kini tahu': Etnik Rohingya sambut baik keputusan bersejarah dalam kes genosid

Pelarian Rohingya menghadiri satu perhimpunan susulan keputusan ICJ bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS
Pelarian Rohingya menghadiri satu perhimpunan susulan keputusan ICJ bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Pelarian Rohingya di Bangladesh menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Myanmar, menganggapnya sebagai pengiktirafan genosid ke atas komuniti mereka.
  • Keputusan ICJ dianggap penting untuk identiti etnik Rohingya dan tuntutan mereka terhadap tanah air di negeri Rakhine, Myanmar.
  • Wakil Rohingya turut menghargai sokongan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Khalilur Rahman, yang mengetengahkan penderitaan mereka di peringkat antarabangsa.
Advertisement

COX'S BAZAR: Pelarian Rohingya di Bangladesh menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Myanmar, menyifatkannya sebagai kemenangan bersejarah yang menurut mereka membawa kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap genosid yang dilakukan terhadap komuniti itu.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa wakil Rohingya Solidarity Group, Kaleem Ullah memberitahu Anadolu bahawa keputusan itu telah menarik perhatian dunia terhadap kekejaman yang dialami etnik Rohingya di Myanmar.

"Keputusan ini merupakan kemenangan bagi etnik Rohingya. Kini sejarah akan mencatat bahawa kami pernah mengalami genosid," kata Ullah.

Advertisement

Beliau berkata komuniti itu amat berpuas hati kerana keputusan mahkamah berkenaan, pada pandangan mereka, mengesahkan bahawa etnik Rohingya merupakan mangsa genosid.

"Kami amat gembira kerana keputusan ini telah menyedarkan seluruh dunia bahawa genosid telah dilakukan terhadap penduduk Rohingya," katanya.

Advertisement

Ullah berkata keputusan itu juga penting bagi identiti etnik Rohingya serta tuntutan mereka sejak sekian lama terhadap tanah air nenek moyang mereka di negeri Rakhine, Myanmar.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai pengiktirafan terhadap Rohingya sebagai satu kelompok etnik yang berasal dari Myanmar, negara yang kerajaan silih berganti telah menafikan hak kewarganegaraan mereka serta mendiskriminasi mereka selama beberapa dekad.

Ullah turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khalilur Rahman atas kenyataannya pada Jumaat yang menyokong komuniti Rohingya.

"Kami berterima kasih kepada beliau kerana bersuara bagi pihak kami. Beliau telah berusaha gigih untuk mengetengahkan penderitaan kami di PBB dan forum antarabangsa lain," kata Ullah.

Beliau berkata lawatan Rahman ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh serta ucapannya di sana amat bermakna bagi komuniti yang kehilangan tempat tinggal itu.

Ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar susulan tindakan keras tentera pada Ogos 2017, menyertai pelarian yang lebih awal mendapatkan perlindungan di negara jiran, Bangladesh.

Gambia membawa kes genosid terhadap Myanmar ke ICJ pada 2019, dengan menuduh negara itu melanggar Konvensyen Genosid 1948.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement