Skip to main content

Dunia

'Sistem kawalan penerbangan AS sudah usang, tetapi masih selamat' - Trump

Trump menyifatkan sebahagian sistem yang menguruskan laluan penerbangan AS sebagai "usang" dan ada yang telah digunakan selama lebih lima dekad. - Foto fail/REUTERS
Trump menyifatkan sebahagian sistem yang menguruskan laluan penerbangan AS sebagai "usang" dan ada yang telah digunakan selama lebih lima dekad. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui sistem kawalan trafik udara negara itu sudah lapuk dan memerlukan pembaharuan menyeluruh, beberapa hari selepas gangguan teknikal menyebabkan penerbangan di seluruh negara digantung selama beberapa jam.

Menurut laporan BBC, Trump menyifatkan sebahagian sistem yang menguruskan laluan penerbangan AS sebagai "usang" dan ada yang telah digunakan selama lebih lima dekad.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sistem sedia ada masih selamat digunakan, walaupun operasi penerbangan terpaksa dijalankan dengan lebih perlahan bagi mengurangkan risiko.

Advertisement

Kenyataan itu dibuat susulan insiden pada 13 November lalu apabila semua penerbangan di AS dihentikan sementara selama kira-kira empat jam, gangguan terbesar seumpamanya sejak serangan 11 September 2001.

Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sebelum ini memaklumkan gangguan tersebut dipercayai berpunca daripada proses naik taraf rangkaian telekomunikasi penerbangan, termasuk penggantian kabel lama serta pemasangan peralatan baharu.

Advertisement

Akibat masalah itu, 17 daripada 22 pusat kawalan trafik udara di seluruh negara dilaporkan mengalami gangguan komunikasi.

BBC melaporkan lebih 15,000 penerbangan tertangguh atau dibatalkan pada hari kejadian, menjejaskan kira-kira 1.5 juta penumpang dan turut memberi kesan kepada jadual penerbangan antarabangsa.

Susulan insiden berkenaan, pentadbiran Trump menggesa Kongres meluluskan dana tambahan berjumlah AS$50 bilion bagi memodenkan sistem kawalan trafik udara negara itu.

Menurut Trump, peruntukan AS$12 bilion yang tersedia ketika ini tidak mencukupi untuk melaksanakan transformasi menyeluruh terhadap infrastruktur penerbangan AS.

Beliau berkata kerajaan perlu bertindak segera bagi mengelakkan gangguan serupa berulang pada masa depan dan memastikan rangkaian penerbangan negara beroperasi dengan lebih cekap.

 

 

Must Watch Video

Advertisement