Ringkasan AI
- WhatsApp meningkatkan had kapasiti kumpulan kepada 1,500 ahli, berbanding had maksimum 1,024 ahli sebelum ini.
- Kemas kini ini diaktifkan secara automatik pada kumpulan sedia ada tanpa memerlukan tindakan tambahan daripada pentadbir.
- Peningkatan kapasiti diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna Android dan iOS, tanpa pengumuman rasmi daripada Meta setakat ini.
MENLO PARK: Aplikasi pemesejan popular, WhatsApp dilaporkan mula meningkatkan had kapasiti kumpulan kepada 1,500 ahli berbanding had maksimum 1,024 ahli sebelum ini, lapor Amanz.
Peningkatan sebanyak 476 ahli itu membolehkan lebih ramai pengguna berada dalam kumpulan yang sama tanpa perlu dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil, sekali gus memudahkan urusan penyelarasan komuniti berskala besar seperti sekolah, persatuan dan organisasi.
Menurut laporan WABetaInfo, kemas kini berkenaan akan diaktifkan secara automatik pada kumpulan sedia ada tanpa memerlukan sebarang tindakan atau tetapan tambahan daripada pentadbir sebaik sahaja ia tersedia pada akaun mereka.
Had kapasiti baharu itu turut merangkumi kumpulan sembang individu dalam ciri Communities, manakala kumpulan pengumuman utama sesebuah komuniti kekal tidak berubah kerana sudah menyokong sehingga 2,000 ahli.
Buat masa ini, perubahan berkenaan mula diperkenalkan secara berperingkat kepada sebahagian pengguna versi terkini WhatsApp bagi peranti Android dan iOS sebelum diperluaskan kepada semua pengguna dalam beberapa minggu akan datang, walaupun Meta masih belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.
Peningkatan saiz kumpulan itu merupakan yang pertama sejak November 2022 apabila WhatsApp menaikkan had ahli daripada 512 kepada 1,024 pengguna.
Langkah itu menyusul selepas WhatsApp memperkenalkan beberapa penambahbaikan pengurusan sembang berkumpulan sejak bulan lalu.
Antaranya termasuk fungsi menyemat mesej penting secara kekal tanpa tempoh tamat, menapis mesej yang mengandungi sebutan dan balasan, berkongsi Status khusus untuk kumpulan serta membolehkan ahli baharu melihat sejarah perbualan terdahulu selepas menyertai kumpulan.