Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.2 peratus kepada 118.2 pada Januari 2017 daripada 114.5 pada bulan yang sama 2016, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

IHP digunakan untuk mengukur kadar inflasi.

Peningkatan itu adalah susulan daripada kenaikan empat peratus bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, sekali gus menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP.

Antara kumpulan utama lain yang mencatatkan peningkatan ialah pengangkutan (+8.3 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.2 peratus), kesihatan (+2.5 peratus), restoran dan hotel (+2.1 peratus), pendidikan (+2.0 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+1.9 peratus).

Indeks kumpulan pengangkutan meningkat 8.3 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Januari 2017, setelah turun 0.6 peratus dan 1.5 peratus masing-masing pada Disember 2016 dan November 2016.

Pada tempoh yang dinilai, harga purata satu liter petrol RON95 adalah RM2.10 pada Januari 2017 berbanding RM1.85 pada Januari 2016.

Harga purata petrol RON97 pula meningkat kepada RM2.40 pada Januari 2017 daripada RM2.25 pada Januari 2016.

Sementara itu, kumpulan komunikasi susut 0.2 peratus di samping pakaian dan kasut menurun 0.7 peratus pada Januari 2017 berbanding Januari 2016.

Berdasarkan pelarasan musim, IHP bagi Januari 2017 meningkat 1.1 peratus berbanding pada Disember 2016.

-- BERNAMA