NEW DELHI: Import minyak sawit India melonjak hampir 60 peratus pada Julai berbanding bulan sebelumnya selepas negara itu membeli minyak boleh dimakan yang agak tinggi.

Import minyak sawit berjumlah lebih sejuta tan, menyumbang 62 peratus daripada keseluruhan import minyak sayuran India pada bulan lepas.

Bekalan Malaysia ke India merangkumi 259,619 tan minyak sawit mentah (MSM), 35,001 tan RBD Olein Sawit dan 7,457 tan minyak isirung sawit mentah (CPKO), berdasarkan data yang dikeluarkan Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) pada Isnin.

Import minyak sayuran India pada Julai mencecah rekod bulanan sebanyak 1.77 juta tan, termasuk 237,379 tan produk bertapis.

Penurunan dalam harga minyak boleh dimakan domestik telah meningkatkan permintaan, kata badan perdagangan India itu.

Import MSM pulih selepas minyak sawit menjadi lebih kompetitif berbanding kacang soya dan minyak lain, dengan jumlah dagangan untuk Julai berada pada 841,000 berbanding 466,000 tan pada bulan sebelum ini.

Import RBD olein sawit menokok kepada 237,000 tan daripada 217,000 tan yang dicatatkan semasa Jun.

-- BERNAMA