Skip to main content

Malaysia

Anggota polis putus pergelangan tangan ditetak warga asing

Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, petang tadi. - Foto Sinar Harian
Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, petang tadi. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, petang tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 4 petang berhubung kejadian seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk.

Beliau berkata susulan laporan itu, sepasukan polis bersama-sama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) digegaskan ke lokasi untuk membantu mengawal keadaan.

Advertisement

“Ketika pintu rumah itu dibuka, suspek telah bertindak menyerang anggota polis berkenaan dengan dua parang menyebabkan seorang daripada anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang berusia 26 tahun dan berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang di sini malam ini.

Shazeli berkata beberapa anggota bomba dan petugas KKM juga dilaporkan mengalami sedikit kecederaan akibat insiden itu. 

Advertisement

Beliau berkata suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum berjaya dikesan berada di sebuah taman permainan berhampiran pada 8 malam.

“Ketika polis cuba menahan lelaki itu, dia telah bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan bagi anggota polis mempertahankan diri.

“Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Shazeli berkata anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Selayang dan telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan tangan kanannya yang terputus dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, kes berkenaan turut tular melalui media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement