Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion dalam Belanjawan 2027 berbanding RM4 bilion tahun ini.
- Peningkatan ini bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil untuk membina keupayaan, mengembangkan perniagaan dan melaksanakan projek rakyat.
- Tatacara perolehan dipermudah termasuk had lantikan terus dinaikkan kepada RM200,000 serta kemudahan pembiayaan dan langkah menangani kos diesel dan bitumen.
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan bagi kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion dalam Belanjawan 2027 berbanding RM4 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata peningkatan peruntukan itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil membina keupayaan, mengembangkan perniagaan dan melaksanakan projek yang diperlukan rakyat.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama dengan wakil persatuan kontraktor Bumiputera yang memberi tumpuan kepada usaha memastikan inisiatif Belanjawan 2027 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya oleh kontraktor kecil.
"Saya mahu peluang ini dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti.
“Setiap projek adalah amanah kepada rakyat yang mesti dilaksanakan dengan mutu terbaik mengikut jadual dan penuh tanggungjawab," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata tatacara perolehan turut dipermudah termasuk menaikkan had lantikan terus bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti kerajaan sehingga RM200,000 selain kemudahan pembiayaan serta langkah menangani kenaikan kos diesel dan bitumen.
-- BERNAMA