Ringkasan AI
- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerjasama BN dan PN di Melaka sebagai usaha membina persefahaman baharu di peringkat nasional.
- Beliau menegaskan kerjasama ini bertujuan menyatukan masyarakat tanpa mengetepikan kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan bahasa.
- Jika BN dan PN menang PRN Melaka, PN akan dilibatkan dalam pembentukan kerajaan negeri seperti diumumkan Ahmad Zahid.
MELAKA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka sebagai gambaran kepada usaha kedua-dua gabungan itu untuk bergerak seiring dalam membina “rumah baharu” di peringkat nasional.
Beliau berkata, sekiranya BN memperoleh majoriti yang baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, keputusan itu akan menjadi gambaran bahawa gabungan itu dan PN bersedia bergerak bersama selepas ini.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan pihaknya tidak berhajat untuk merendahkan mana-mana parti.
“Maka inilah gambaran bahawa BN dan PN akan bersepakat untuk berjalan serentak, dan insya-Allah kita akan melepasi jambatan untuk kita membina rumah baharu di peringkat nasional
“Rumah besar ini adalah rumah yang kita bina untuk ummah keseluruhannya,” katanya ketika berucap ceramah Grand Finale di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini malam ini.
Pengerusi BN itu menambah, kerjasama berkenaan menunjukkan kedua-dua gabungan kini bersedia mengetepikan perbezaan politik lalu demi membina persefahaman yang lebih besar.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata “rumah besar” yang ingin dibina itu bukan hanya untuk kepentingan politik BN dan PN, sebaliknya bertujuan menyatukan masyarakat tanpa mengetepikan kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan bahasa.
“Rumah besar ini untuk menyatukan fikrah di kalangan kita, tanpa kita menepikan agama lain, bangsa lain, budaya dan bahasa lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan pengalaman kekalahan BN dan Pas sebelum ini menjadi antara pengajaran yang mendorong kedua-dua parti memperkukuh hubungan dan menyatukan hati nurani.
Ujarnya, kerjasama berkenaan turut membuahkan hasil di beberapa negeri, termasuk pembentukan kerajaan di Negeri Sembilan.
Selain itu. Ahmad Zahid berkata jika BN dan PN diberikan mandat membentuk kerajaan negeri selepas PRN Melaka, PN akan dilibatkan dalam pembentukan kerajaan negeri.
“Insya-Allah selepas 14 haribulan ini, selaku Pengerusi BN, ditakdirkan Allah SWT memberikan kita kemenangan bersama-sama BN dan PN, insya-Allah Kerajaan Negeri Melaka juga akan melibatkan PN di dalam pembentukan kerajaan di Negeri Melaka ini,” jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.