NEW DELHI: India mengimport 217,847 tan minyak sawit dari Malaysia pada November dan import minyak sayuran secara keseluruhan negara itu meningkat 13 peratus pada bulan tersebut.

Penghantaran dari Malaysia terdiri daripada 195,505 tan minyak sawit mentah (MSM), 16,343 tan olein sawit RBD dan 5,999 tan minyak isirung sawit mentah (CPKO).

Import minyak sayuran India pada November berjumlah 1.16 juta tan, menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus daripada Oktober, menurut data yang dikeluarkan oleh kumpulan perdagangan Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) pada Jumaat.

Bahagian minyak sawit sebanyak 869,491 tan, mewakili 76 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Import olein sawit RBD pada November sebanyak 171,069 tan daripada 53,497 tan pada Oktober.

-- BERNAMA