Syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam industri halal perlu 'mengetuk pintu' syarikat multinasional (MNC) dalam usaha memasarkan produk dan perkhidmatan di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, MNC berkenaan juga tidak seharusnya mengeluarkan produk sendiri dan mengambil kira produk berstandard tinggi yang dikeluarkan syarikat tempatan.

"Saya mengarahkan MITI, HDC, Mosti, Majlis Halal Malaysia supaya memangil CEO semua syarikat multinasional yang ada kaitan dengan pemasaran produk halal untuk duduk bersama saya supaya mereka juga membuka pintu apabila syarikat tempatan mengetuk pintu mereka," katanya semasa Sesi Dialog Perdana Industri Halal di sini hari ini.

Dialog itu diadakan sempena pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 (2018-2030).

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, masalah utama rakyat adalah suka merendah-rendahkan produk tempatan sedangkan produk keluaran Malaysia diterima baik di negara luar.

"Pengusaha kita boleh serta berkemampuan mengeluarkan produk halal yang berkualiti dan semua pihak perlu keluar daripada kepompong pemikiran sedia ada bagi memastikan Malaysia kekal peneraju industri halal dunia," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid mahu satu lokasi taman industri halal bersepadu diwujudkan selain mengekalkan beberapa taman industri halal sedia ada di negara ini.

Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Halal Malaysia yang akan datang.

Kejayaan mempertingkatkan keupayaan produk halal mengekalkan Malaysia sebagai pelopor industri tersebut yang kini menyumbang 7.5 peratus Ke­luaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau bersamaan RM42 bilion.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelaburan terkumpul dalam industri halal mencecah RM15 bilion menjelang 2020 bersandarkan kepada ekosistem kukuh industri halal di negara ini.

Jelasnya, setakat ini nilai pelaburan terkumpul industri halal negara sejak 2015 dianggarkan mencecah RM11 bilion.