NEW YORK: Bintang pop global Taylor Swift mencipta sejarah apabila dinamakan sebagai wanita termuda yang disenaraikan dalam Songwriters Hall of Fame (SHOF) sempena Majlis Anugerah Tahunan ke-55, di sini, malam tadi.
Penyanyi berusia 36 tahun itu memecahkan rekod kategori wanita yang sebelum ini dipegang oleh Carole Bayer Sager, sekali gus menjadikannya individu kedua termuda secara keseluruhan menerima pengiktirafan tersebut selepas legenda muzik, Stevie Wonder, lapor AFP.
Kemasukan pemenang 14 Anugerah Grammy itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam penulisan lirik sepanjang lebih dua dekad karier muziknya.
Mengikut peraturan SHOF, seseorang penulis lagu hanya layak dicalonkan sekurang-kurangnya 20 tahun selepas pelancaran komersial karya pertama mereka.
Swift memenuhi syarat tersebut menerusi single debut ikoniknya, Tim McGraw, yang dilancarkan pada Jun 2006.
Antara karya yang diketengahkan bagi penilaian termasuk All Too Well (10 Minute Version), Blank Space, Anti-Hero, Love Story dan The Last Great American Dynasty.
Majlis yang berlangsung di Hotel Marriott Marquis itu turut menyaksikan penyanyi meningkat naik Sombr membuat persembahan penghormatan menerusi lagu Cardigan dan Dear John, sebelum Swift menerima trofi daripada produser terkenal Jimmy Jam.
Dalam ucapan penerimaan selama 21 minit, Swift kelihatan sebak ketika mengucapkan penghargaan kepada keluarganya yang berpindah dari Pennsylvania ke Nashville bagi menyokong impian muziknya.
Selain Swift, antara tokoh yang turut disenaraikan bagi kelas 2026 termasuk Kenny Loggins, Alanis Morissette serta Paul Stanley daripada kumpulan KISS, yang turut mewakili Gene Simmons yang tidak dapat hadir.