Skip to main content

Malaysia

Semua penempatan haram wajib diroboh ikut undang-undang - Amirudin

AMIRUDIN SHARI
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu penempatan haram di negeri ini perlu ditangani dengan sebaiknya kerana ia bukan perkara baharu. -Gambar fail

KUALA SELANGOR: Semua penempatan haram di negeri ini yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah dan tanah (PDT) perlu dirobohkan mengikut lunas undang-undang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu penempatan haram di negeri ini perlu ditangani dengan sebaiknya kerana ia bukan perkara baharu.

"Isunya adalah pentadbiran dan pengurusan yang melibatkan kelulusan tanah dan PBT.

“Daripada rekod kita, beberapa tindakan dibuat (seperti) amaran, notis dan sebagainya sebab kalau kita lihat kepada isu tanah biasanya ia melibatkan kepada penggunaan tanah di luar daripada kapasiti atau pun syarat nyata tanah.

"Sebenarnya ia banyak melibatkan antaranya kawasan pembuangan sampah haram yang kita pernah uruskan dalam bidang kuasa negeri, sebelum suatu perampasan dibuat, kita kena memberikan masa secukupnya untuk pemilik memulihkan tanah tersebut," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Loji Sisa ke Tenaga (WTE) 1 di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram, di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai penempatan haram di Kampung Baru Sungai Makau, Amirudin memaklumkan, beliau diberi jaminan oleh Pegawai Daerah Hulu Langat untuk mengambil tindakan perobohan akan diambil serta rampasan tanah dilakukan jika perlu.

“Isu di sini adalah perbandaran dan juga syarat guna tanah yang perlu diuruskan, tetapi saya sudah mendapat jaminan daripada pihak pegawai daerah tindakan segera akan dibuat untuk merobohkan dan kalau ada keperluan perampasan, kita akan buat.

"Tetapi, urusan perampasan tanah tidak mudah sebab merupakan tanah hak milik, mereka bayar premium jadi kita kena beri ruang kerana ada setengah kes kita kena dibawa ke dalam mahkamah,” tegasnya.

Amirudin sebelum ini memaklumkan, pelbagai tindakan diambil agensi kerajaan sejak 2016 bagi menangani isu bangunan penempatan etnik Rohingya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sebelum ini, Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan perobohan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau menegaskan, tindakan itu akan dilaksanakan susulan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang sudah diambil oleh agensi berkaitan terhadap struktur berkenaan sejak beberapa tahun lalu. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement