KUALA LUMPUR: Industri takaful di Malaysia dijangka menerima manfaat daripada beberapa pelan ekonomi negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, selain kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Penolong Gabenor BNM Suhaimi Ali berkata menerusi pelan ekonomi negara, penggiat industri boleh membina kesalinghubungan perniagaan yang kukuh dengan menggunakan prospek perniagaan lebih luas untuk meraih manfaat daripada potensi kerangka dan pelan hala tuju Pengantaraan Berasaskan Nilai Takaful (VBIT).

"Dalam memanfaatkan peluang ini, hala tuju masa depan takaful menuntut perspektif dan komitmen lebih luas bagi menangani isu skala, kepakaran dan selera risiko.

"Kepelbagaian dan pengembangan di luar daripada tumpuan semasa bagi kategori perlindungan insurans yang melindungi individu dan aset mereka adalah penting.

"Ini bererti membina keupayaan dan pengetahuan sendiri untuk berdepan risiko yang tidak diketahui, dengan penyelarasan dan kerjasama adalah penting selain inovasi, melibatkan pelbagai disiplin Syariah, produk, risiko, strategi dan aktuari, dan lazimnya dengan sokongan daripada penggiat takaful semula dan insurans semula," katanya dalam ucap tama program Takaful Rendezvous 2023 di sini semalam.

Suhaimi turut menekankan keutamaan lain untuk memanfaatkan potensi VBIT seperti memperkenalkan produk berasaskan nilai dan perkhidmatan tambah nilai serta menanamkan tadbir urus yang baik bagi menambah baik jangkaan tingkah laku pasaran.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia mempunyai ekosistem pemboleh dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kewangan Islam, sama ada daripada individu atau perniagaan bagi menyokong pelbagai keperluan ekonomi.

Sehubungan itu, operator takaful perlu memanfaatkan ekosistem halal dan memenuhi keperluan takaful untuk perlindungan harta dan perniagaan bagi melengkapkan rangkaian luas penyelesaian pembiayaan perdagangan kepada pengimport dan pengeksport, katanya.

Suhaimi berkata, penting untuk penggiat takaful semula untuk meraih manfaat daripada kekukuhan dan ekosistem Malaysia bagi bantuan perniagaan ke rantau Asia dan di luarnya.

Beliau berkata banyak negara sedang menyediakan peraturan yang diperlukan bagi membolehkan penawaran takaful dan meningkatkan sumbangan sektor itu.

"Penggiat takaful semula di Malaysia dengan kepakaran dan kemampuan yang ada, boleh menawarkan kapasiti untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan industri takaful di pasaran lain," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed berkata Takaful Rendezvous 2023 yang sebelum ini dikenali sebagai Konvensyen Antarabangsa Takaful dan Takaful Semula adalah perhimpunan tahunan bagi pakar industri di seluruh dunia untuk saling bertukar pandangan berhubung peluang dan isu yang dihadapi oleh industri takaful.

"Menerusi program ini, MTA telah memulakan satu platform untuk industri takaful dan takaful semula memperkenalkan dan menonjolkan amalan Malaysia dari segi struktur dan prinsip takaful dan takaful semula di peringkat global.

"Sejajar dengan pertumbuhan kukuh industri takaful, ciri ini akan terus menyediakan pendekatan untuk menggalakkan wacana intelektual dan merealisasikan peluang perniagaan ini," katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu.

Mohd Radzuan berkata Takaful Rendezvous 2023 bertemakan "Membolehkan Ekosistem Inovasi, Kemampanan dan Kecekapan - Menggariskan Hala Tuju Masa Depan" adalah tepat pada masanya dan mencetuskan idea.

Dianjurkan dengan kerjasama Asian Insurance Review, Takaful Rendezvous menandakan tahun ke-13 penganjurannya sejak kerjasama pertama yang terjalin pada 2010 di Kuala Lumpur.


-- BERNAMA