KOTA KINABALU: Sabah berdepan kekurangan hampir 245 pegawai perubatan, dengan Hospital Ranau antara fasiliti kesihatan yang terjejas akibat perpindahan petugas sedia ada.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kekurangan itu susulan pelaksanaan Urusan Lantikan Tetap Fasa 2 pada 28 Sept lepas apabila 67 peratus calon pengganti dari luar tidak melapor diri bagi tawaran lantikan tetap sekali gus menjejaskan pengisian jawatan pegawai perubatan di negeri berkenaan.
Menurut JKN Sabah, Hospital Ranau kini hanya beroperasi dengan sembilan pegawai perubatan termasuk pengarah hospital selepas 11 daripada 19 petugas sedia ada berpindah keluar.
"Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti tujuh pegawai pengganti dari luar Sabah, hanya seorang yang melapor diri," menurut kenyataan itu.
JKN Sabah memaklumkan situasi di Hospital Ranau mencerminkan cabaran kekurangan pegawai perubatan yang lebih meluas di seluruh negeri itu, dengan beberapa fasiliti kesihatan lain turut berdepan masalah sama.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sebagai langkah segera, JKN Sabah akan menempatkan tiga pegawai perubatan floater di Hospital Ranau secara berperingkat, yang bermula Rabu lepas hingga 11 Nov ini.
Pada masa sama, KKM akan melaksanakan urusan pelantikan khas secara tetap bagi jawatan Pegawai Perubatan Gred UD10 khusus untuk memenuhi keperluan penempatan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu, jangkaan pengisian dan lapor diri pegawai perubatan menerusi pelantikan khas tersebut akan bermula seawal Februari 2027.
JKN Sabah turut memberi jaminan akan terus komited dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan rawatan utama tidak terjejas selain mengambil langkah proaktif bagi mencari penyelesaian praktikal terhadap masalah kekurangan pegawai perubatan di negeri itu.
-- BERNAMA