Industri tekstil Malaysia mengalami masalah kekurangan pekerja yang kritikal selain akan menjejaskan aliran masuk pelaburan ke dalam industri itu jika tidak ditangani, menurut Persatuan Persatuan Pekilang Tekstil Malaysia (MTMA).

Presiden, Datuk Seri Tan Thian Poh berkata keperluan untuk mendapatkan pekerja ketika ini adalah lebih mendesak memandangkan perolehan industri itu dijangka berkembang sekurang-kurangnya 30 peratus sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dikuatkuasakan.

"Terdapat kira-kira 10,000 syarikat dalam industri ini dengan tenaga kerja hampir 100,000 orang.

"Jika TPPA dilaksanakan, industri perlu menambah kapasitinya dalam tempoh tiga tahun akan datang, memerlukan tambahan 50,000 pekerja. Kekurangan pekerja boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran dan menyekat pelaburan," katanya.

Tan berkata demikian kepada Bernama di luar seminar bertema 'Merungkai TPPA untuk Strategi Perniagaan kepada Industri Tekstil dan Pakaian' selama tiga hari, anjuran MTMA di sini pada Isnin.

Beliau berkata persatuan telah mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan mengenai masalah itu dan berharap kerajaan akan memberi kelulusan khas atau proses permohonan segera kepada industri untuk mengambil pekerja asing.

Katanya, ketika ini, nisbah antara pekerja asing dan tempatan dalam industri adalah 60:40 dengan pekerja asing melakukan kerja peringkat bawah.

Sementara itu, Tan berkata MTMA, melalui unitnya, Pusat Tekstil dan Pakaian Malaysia, menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk melaksanakan projek tekstil yang mempunyai nilai tambah tinggi berkaitan inovasi, pembangunan produk yang rumit serta pengautomatan.

Projek berkenaan, yang bertujuan meningkatkan kecekapan kerja dan pengeluaran sebanyak 50 peratus, tidak akan menyebabkan pemberhentian pekerja, katanya.

Pada 2015, industri tekstil dan barangan tekstil menyumbang RM13.2 bilion atau 1.7 peratus kepada eksport keseluruhan Malaysia.

Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran eksport utama bagi industri itu, menyumbang 18.3 peratus kepada eksport keseluruhan industri, sekali gus menunjukkan bagaimana industri akan meraih manfaat daripada TPPA, kata Tan. -- BERNAMA