KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia dijangka tidak meningkat walaupun rasionalisasi subsidi dilaksanakan, kata AmBank Research.

Bagaimanapun, ia berkata, purata inflasi Malaysia pada tahun 2024 berkemungkinan lebih tinggi berbanding 2023.

Berdasarkan pengumuman kerajaan baru-baru ini, firma penyelidikan itu percaya kerajaan komited untuk meneruskan penyatuan fiskal, membenarkan harga yang kompetitif dan menyesuaikan kedudukan kepada keseimbangan pasaran.

"Keperluan strategik di sini adalah untuk mempercepatkan dan menyusun pelancaran rasionalisasi subsidi berkenaan.

"Dasar pelengkap kepada rasionalisasi subsidi, sama ada penambahbaikan awal dalam pertumbuhan gaji atau pengembangan dalam jaringan keselamatan sosial dengan mengalihkan beban subsidi daripada bahan api kepada jenis subsidi lain, juga harus dipertimbangkan dan dilaksanakan secara serentak," katanya dalam satu nota penyelidikan.

AmBank Research berkata, inflasi dijangka menyederhana sekiranya inflasi makanan dan minuman, mencakupi 29.8 peratus daripada wajaran indeks harga pengguna, kekal rendah dan stabil.

Ia juga mungkin berlaku jika tiada penghapusan subsidi bahan api secara tiba-tiba atau dengan kata lain, penghapusan subsidi bahan api yang progresif dan beransur-ansur.

Faktor lain untuk inflasi yang lebih menyederhana ialah jika terdapat kesan pusingan kedua lebih kecil dalam persekitaran kadar pertukaran yang lebih menggalakkan disebabkan oleh perbezaan kadar faedah/hasil antara Malaysia dan Amerika Syarikat mungkin akan berlaku.

AmBank Research berpendapat, kerajaan menyedari tekanan besar untuk melaksanakan pembaharuan yang diperlukan dengan pantas, melalui pelbagai dasar terhadap ekonomi dalam tempoh masa singkat.

"Pendekatan berperingkat ialah pilihan dasar yang diukur untuk mengimbangi keperluan mendesak dan kemampanan untuk memulakan pembaharuan dan mengurangkan tekanan inflasi serta-merta serta menyediakan ruang yang mencukupi untuk ekonomi menyesuaikan diri kepada realiti ekonomi baharu," katanya.

"Oleh itu, risiko pilihan dasar sedemikian ialah kesan penuh rasionalisasi subsidi akan dirasai kemudian dan bukannya lebih awal. Ini memastikan langkah reformasi dengan mempertimbangkan kesejahteraan ekonomi dan rakyat yang merupakan intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua hari lepas," katanya.

Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi diesel, melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia, dijangka penjimatan RM4 bilion setahun untuk kerajaan. - BERNAMA