BISNES
Inflasi Julai 2025 naik kepada 1.2% dipacu insurans, perkhidmatan kewangan

Kumpulan Makanan dan Minuman, yang menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan sebanyak 1.9 peratus, berbanding 2.1 peratus pada Jun. - Foto DOSM
KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.2 peratus pada Julai 2025, sedikit lebih tinggi berbanding 1.1 peratus yang direkodkan pada Jun, dengan mata indeks mencatatkan 134.7, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini didorong terutamanya oleh kumpulan Insurans dan Perkhidmatan Kewangan, yang melonjak kepada 5.5 peratus berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.
“Kumpulan Makanan dan Minuman, yang menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP), menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan sebanyak 1.9 peratus, berbanding 2.1 peratus pada Jun,” katanya.
“Subkumpulan Makanan di luar rumah mencatatkan inflasi 4.3 peratus, manakala Makanan di rumah terus berada dalam jajaran negatif pada -0.3 peratus,” tambah beliau, dalam satu kenyataan dikeluarkan DOSM hari ini.Beberapa kumpulan lain turut menunjukkan penyederhanaan, termasuk Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.9%) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (1.3%).
Kumpulan seperti Pendidikan, Kesihatan, dan Rekreasi, Sukan & Kebudayaan kekal stabil, manakala Maklumat & Komunikasi dan Pakaian & Kasut terus mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak -6.4% dan -0.2%.
Dari segi geografi, Kelantan mencatatkan inflasi terendah pada 0.0%, manakala Johor (1.8%), Selangor (1.5%), Negeri Sembilan (1.4%), dan Melaka (1.3%) melebihi paras inflasi nasional.
Secara bulanan, inflasi keseluruhan meningkat 0.1 peratus, dipacu oleh kenaikan dalam Insurans & Perkhidmatan Kewangan (4.6%), Restoran & Perkhidmatan Penginapan (0.8%), dan Kesihatan (0.3%).
Inflasi teras kekal pada kadar 1.8 peratus, dengan sumbangan utama daripada kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan, Penjagaan Diri, Makanan & Minuman, serta Restoran & Perkhidmatan Penginapan.
Dalam perbandingan serantau, kadar inflasi Malaysia (1.2%) adalah lebih rendah berbanding Viet Nam (3.2%), Indonesia (2.4%), dan Korea Selatan (2.1%), namun lebih tinggi berbanding Filipina (0.9%), China (0.0%), dan Thailand (-0.7%).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami