Skip to main content

Bisnes

Inisiatif jaminan pembiayaan RM5 bilion bantu kekalkan momentum eksport PMKS - MATRADE

KUALA LUMPUR, April 21 -- Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Chairman Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican speaks during MATRADE Q1 Malaysia’s Trade Update today._BERNAMA
Reezal Merican berkata akses pembiayaan yang mencukupi adalah penting bagi syarikat berorientasi eksport kerana modal kerja kekal sebagai keperluan utama dalam mengekalkan operasi dan memenuhi pesanan antarabangsa. - Bernama

KUALA LUMPUR: Inisiatif jaminan pembiayaan oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka memberi rangsangan besar kepada sektor itu khususnya pengeksport.

Langkah itu bukan sahaja akan mengukuhkan modal kerja kalangan PMKS malah juga mengekalkan momentum perdagangan dalam menghadapi tekanan kos semasa.

Advertisement

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata akses pembiayaan yang mencukupi adalah penting bagi syarikat berorientasi eksport kerana modal kerja kekal sebagai keperluan utama dalam mengekalkan operasi dan memenuhi pesanan antarabangsa.

Beliau berkata inisiatif yang diumumkan kerajaan pada Isnin itu akan memberi impak yang amat bermanfaat kepada PMKS berbanding peruntukan pembiayaan yang lebih kecil sebelum ini, yang dilihat tidak mencukupi untuk menangani skala cabaran semasa.

“RM5 bilion ini akan membantu PMKS dari segi membiayai modal mereka. Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti eksport, perkara paling penting adalah modal kerja. Jadi dengan pembiayaan RM5 bilion ini, saya berpandangan inisiatif tersebut akan memberi manfaat besar kepada PMKS,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi perdagangan Malaysia bagi suku pertama 2026.

Reezal Merican berkata dalam persekitaran ekonomi semasa, perbelanjaan berterusan adalah penting bagi mengelakkan penguncupan aktiviti perniagaan di samping menekankan bahawa syarikat perlu mengekalkan momentum operasi dan pada masa sama memastikan pengurusan kos yang lebih baik.

“Pada masa yang sama, usaha perlu menumpukan kepada pengurangan ketirisan untuk memastikan sumber kewangan digunakan secara cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata sokongan pembiayaan yang diumumkan itu adalah tepat pada masanya untuk membantu PMKS mengharungi tekanan berterusan dan pada masa sama mengekalkan trajektori prestasi eksport Malaysia.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa langkah segera membantu PMKS mengekalkan operasi ekoran krisis bekalan tenaga dan konflik Asia Barat yang telah meningkatkan kos operasi serta mengganggu rantaian bekalan.

Antara langkah utama adalah peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan liputan pembiayaan sehingga 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.

Hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kemudahan khas berjumlah RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia bagi membantu PMKS menghadapi impak daripada konflik Asia Barat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video