Skip to main content

Dunia

Tiga negara Asia Tengah lapor gangguan bekalan elektrik serentak

Power lines and wind turbines are pictured at a wind and solar energy storage and transmission power station of State Grid Corporation of China, in Zhangjiakou of Hebei province, China, March 18, 2016. REUTERS/Jason Lee
Menurut Kementerian Tenaga Tajikistan, langkah-langkah telah diambil untuk memulihkan operasi normal "secepat mungkin" dan menjangkakan sistem itu kembali pulih "dalam tempoh terdekat." - Gambar hiasan/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Kazakhstan, Uzbekistan dan Tajikistan melaporkan gangguan bekalan elektrik serentak pada Jumaat ketika pihak berkuasa berusaha memulihkan bekalan tenaga dan mengenal pasti punca gangguan berkenaan, lapor  Anadolu Ajansi.

Kementerian Tenaga Kazakhstan dalam satu kenyataan di Telegram memaklumkan bahawa lonjakan kuasa berlaku di negara itu disebabkan "perubahan mendadak dalam aliran kuasa" daripada grid tenaga Asia Tengah.

"Justeru, sistem kawalan kecemasan telah diaktifkan, menyebabkan terputusnya bekalan kepada beberapa pengguna tenaga di sesetengah wilayah di Kazakhstan," menurut kementerian itu.

Kementerian itu kemudiannya memaklumkan bahawa bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya di sepanjang laluan yang dikendalikan oleh KEGOC, pengendali grid tenaga negara berkenaan, manakala syarikat tenaga wilayah sedang berusaha menyambung semula bekalan kepada pengguna secara berperingkat.

Pihak kementerian turut menolak dakwaan yang mengaitkan gangguan di Uzbekistan dengan masalah yang berpunca dari Kazakhstan.

"Maklumat yang tular dalam beberapa kumpulan awam bahawa gangguan elektrik di Uzbekistan berpunca daripada kemalangan pada grid tenaga di Kazakhstan adalah tidak benar," katanya.

Di Uzbekistan, Kementerian Tenaga memaklumkan bahawa "insiden dalam sistem tenaga negara jiran" telah menjejaskan sistem kuasa Asia Tengah, sekali gus menyebabkan gangguan elektrik di beberapa kawasan termasuk Wilayah Surxondaryo di bahagian tenggara.

Ia kemudian menyatakan bahawa bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya di semua kawasan terjejas kecuali sebahagian Surxondaryo, dengan "bekalan elektrik dijangka pulih sepenuhnya tidak lama lagi."

Sementara itu di Tajikistan, Kementerian Tenaga menerusi hantaran di Facebook menyatakan bahawa kerja-kerja menangani apa yang disifatkan sebagai "situasi kecemasan" dalam sistem tenaga negara itu sedang dijalankan.

Menurut kementerian berkenaan, langkah-langkah telah diambil untuk memulihkan operasi normal "secepat mungkin" dan menjangkakan sistem itu kembali pulih "dalam tempoh terdekat."

"Satu kumpulan kerja antara jabatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden berkenaan," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement