KUALA LUMPUR: Industri kewangan Islam terus berkembang dan memerlukan penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan institusi serta pasaran global yang semakin kompleks.
Sehubungan itu, ISRA Consulting kini dijenamakan semula sebagai ISRA Associates, menandakan fasa baharu organisasi itu dalam memperluaskan peranannya sebagai firma perundingan dan khidmat nasihat kewangan Islam yang menawarkan penyelesaian lebih menyeluruh kepada kerajaan, pengawal selia, institusi kewangan dan rakan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Associates, Profesor Madya Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid, berkata penjenamaan semula itu bukan sekadar melibatkan perubahan identiti, malah mencerminkan perkembangan organisasi dalam membantu industri menangani cabaran baharu termasuk kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
"Contohnya, perkembangan yang berlaku dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
"Bagaimana kita boleh bekerjasama dengan industri kewangan Islam untuk membawa penyelesaian yang bersesuaian?
"Pertukaran nama ini bukan sekadar memperkenalkan identiti baharu, tetapi juga membawa mesej baharu kepada industri dan rakan strategik bahawa kami bersedia menghasilkan penyelesaian yang memberi impak lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran ISRA Associates di Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut beliau, ISRA Associates turut beroperasi dalam ekosistem bersama INCEIF University dan ISRA Institute, sekali gus menghubungkan pembangunan bakat, penyelidikan dan penyelesaian industri di bawah satu rangka kerja yang saling melengkapi.
Katanya, sinergi antara ketiga-tiga entiti itu membolehkan ilmu, kepakaran dan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada kerajaan, pengawal selia, institusi kewangan serta negara-negara yang membangunkan ekosistem kewangan Islam.
"Kita mempunyai pengetahuan baharu dan bakat yang dibangunkan.
"Apabila kedua-duanya digabungkan, persoalannya ialah bagaimana kita boleh membawa impak kepada industri.
"Di situlah peranan ISRA Associates, iaitu menterjemahkan segala ilmu yang dibangunkan di universiti dan pusat penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang dapat dimanfaatkan oleh industri serta negara-negara Islam lain yang memerlukan kepakaran kita," tambahnya.
Tidak sekadar menempa nama di dalam negara, ISRA Associates turut diberi kepercayaan membangunkan keseluruhan ekosistem dan kerangka kawal selia perbankan Islam berdaulat untuk Bank Pusat Tajikistan serta Algeria.
Memacu momentum itu, ISRA Associates pada masa sama menerajui pembangunan tadbir urus Syariah di pasaran baharu termasuk Uzbekistan dan Somalia.
Majlis yang berlangsung di ibu kota pada Selasa itu turut menyaksikan pelancaran laman sesawang korporat baharu ISRA Associates, selaras dengan identiti dan hala tuju baharunya.
ISRA Associates yang ditubuhkan pada 2012 sebagai ISRA Consulting merupakan anak syarikat milik penuh INCEIF University dan berperanan sebagai cabang penglibatan industri universiti itu.
Melalui identiti baharu ini, organisasi berkenaan menyasarkan untuk menjadi rakan strategik yang dipercayai dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang lebih berdaya tahan, berteraskan tujuan dan memberi impak di peringkat Malaysia serta global.
Maklumat lanjut mengenai ISRA Associates, perkhidmatan serta inisiatifnya boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi di https://www.israassociates.com .